Written by Bella | June 8th, 2015

Konsert Rockestra  XPDC: Aku Masih Disini  yang diadakan pada hari Sabtu lalu mempunyai pelbagai konflik dalaman dan kontroversi sehingga menyebabkan konsert tersebut tertunda lebih daripada satu jam.

Menurut vokalis kumpulan tersebut iaitu  Mael beliau menyifatkan segala kekangan dan masalah berpunca daripada pihak pengajur DuaLaris Event yang enggan menjelaskan baki bayaran seperti yang dijanjikan sebelum kumpulan XPDC membuat persembahan secara langsung.

Sebelum sidang media konsert ini lagi saya sudah tekankan pada penganjur bahawa saya mahu bayaran penuh dijelaskan sebelum saya bersama ahli-ahli lain mengadakan persembahan. Hampir setiap masa saya tekankan mahu bayaran penuh sebelum persembahan. Tetapi saya pula dimarahi semula dan mereka meminta saya nyanyi dahulu baru dapat bayaran.

Lebih menyakitkan hati, maruah Mael telah dipijak apabila salah seorang pihak penganjur telah mencampak duit ke lantai di hadapan khalayak ramai.

Apabila saya bertegas mahu bayaran dijelaskan juga sebelum persembahan, salah seorang daripada pihak penganjur mencampak duit itu ke lantai di depan orang ramai. Ketika itu saya rasa maruah saya dihina kerana perbuatannya. Tetapi lain pula jadinya apabila orang berkata-kata kononnya sayalah punca konsert itu gagal.

Bagi saya, XPDC telah memberikan persembahan yang terbaik pada malam itu dan kegagalan konsert itu bukan berpunca daripada saya. Mereka yang melambatkan acara.

Semuanya terjadi apabila vokalis kumpulan tersebut tidak muncul  pada waktu yang telah ditetapkan meskipun kesemua anggota XPDC iaitu  Eddie (bes), Lola (drum) Izu (gitaris) telah memulakan persembahan pembukaan di atas pentas tanpa kehadiran Mael. Peminat kumpulan XPDC mula merasa marah dan tertanya-tanya apabila seorang penyanyi yang tidak dikenali menggantikan tempat Mael dengan lagu Hidup Bersama.

Mael pada masa yang sama berasa terkilan apabila acara persembahan konsert dimulakan dahulu tanpa menunggunya yang sedang perjalanan ke stadium, berkenaan, sehingga beliau terpaksa berkorban untuk tidak menziarahi abang beliau yang meninggal dunia pada sebelah petang di Muar.

Sumber Berita: mStar Online