Pelakon Linda Hashim berharap perubahan suaminya, Beego yang kini dilihat menyertai kumpulan tabligh bukanlah sekadar satu bentuk lakonan semata-mata.
Linda, atau nama penuhnya Norhazlinda Hashim, 41, secara terbuka menegur suaminya itu agar tidak mengabaikan tanggungjawab, terutamanya berkaitan nafkah dan kebajikan anak-anak mereka.
Tabligh itu dah betul dah, takut dia yang tidak betul. Harap-harap istiqamah, jangan wayang sahaja. Nafkah anak-anak, tanggungjawab pada anak-anak mana belum selesai lagi?
Sebelum ini, Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, memuat naik video bersama jemaah tabligh di jeti Pulau Perhentian, Terengganu, yang memaparkan seorang ustaz meletakkan tangan di dadanya sambil membaca doa.
Momen tersebut menarik perhatian ramai, terutama melihat riak wajah pelakon itu yang kelihatan sugul dan sebak.
Sementara itu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur menetapkan 30 Jun depan bagi pembentangan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) berkaitan kes rumah tangga mereka.
Linda sebelum ini memfailkan permohonan cerai pada Januari lalu atas alasan sudah tiada persefahaman antara mereka.
Pasangan itu pernah hadir ke mahkamah pada Mei 2023 untuk membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak selepas bersetuju untuk rujuk semula pada 9 April 2023, susulan penceraian yang berlaku pada 27 Mac tahun sama.
Namun, Linda turut mendedahkan bahawa mereka bercerai buat kali kedua beberapa bulan selepas rujuk, iaitu pada April 2023, tetapi tidak mengumumkannya secara terbuka kerana bimbang dianggap mempermainkan institusi perkahwinan.
Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.