Kes membabitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terus menjadi perhatian apabila pihak pendakwaan berhujah bahawa beliau sebenarnya adalah dalang dalam kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata Mahkamah Rayuan sebelum ini gagal menilai keterangan secara menyeluruh dan tidak melihat kronologi kejadian dengan objektif.
Menurutnya, keterangan saksi utama pendakwaan menunjukkan Syed Saddiq sendiri yang memberikan arahan kepada bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, untuk mengeluarkan RM1 juta dana parti itu atas alasan yang dianggap tidak jujur.
Beliau berkata Mahkamah Rayuan mengakui kewujudan arahan tersebut, namun menolak untuk menilai alasan di sebalik arahan itu. Pendakwaan turut berhujah bahawa arahan melupuskan wang ketika SPRM hadir menyiasat rumah Syed Saddiq pada 31 Mac 2020 langsung tidak dipertimbangkan dalam keputusan Mahkamah Rayuan.
Wan Shaharuddin juga menegur tindakan Mahkamah Rayuan yang disifatkannya “memilih dan mengambil” hanya keterangan yang menyebelahi Syed Saddiq, sambil mengabaikan bukti pendakwaan.
Menurutnya, tugas badan kehakiman adalah menilai semua keterangan secara menyeluruh, bukan hanya hujahan pembelaan. Beliau turut mempersoalkan beberapa kenyataan dalam alasan penghakiman Mahkamah Rayuan yang didakwa berbaur emosi, termasuk kritikan terhadap SPRM dan pasukan pendakwaan di mahkamah terbuka.
Rayuan pendakwaan untuk mengetepikan pembebasan Syed Saddiq ini berlangsung di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah. Syed Saddiq hadir dengan barisan peguamnya termasuk Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Ambiga Sreenevasan.
Syed Saddiq sebelum ini dituduh bersubahat mengarahkan pengeluaran RM1 juta dana Armada pada 6 Mac 2020 serta menyalahgunakan RM120,000 dana Armada Bumi Bersatu pada April 2018. Beliau juga didakwa terlibat dalam dua transaksi pengubahan wang haram membabitkan pemindahan RM50,000 ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya pada Jun 2018.
Pada Jun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskannya daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi. Namun pendakwaan memfailkan rayuan dengan 28 alasan bagi memohon hukuman dan sabitan asal dikembalikan.
Prosiding rayuan di Mahkamah Persekutuan masih berlangsung dan keputusan akan ditetapkan pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
