Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Memetik laporan Buletin TV3, Ketua Pesuruhjaya SPRM iaitu Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara tersebut pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM.

Saya dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) mengenai keputusan hari ini dan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan akan dibuat.
Apabila ditanya sama ada beliau kecewa dengan keputusan hari ini memandangkan siasatan telah dijalankan oleh pegawai penyiasatnya sendiri, beliau menjelaskan bahawa beliau tidak berasa kecewa kerana perkara tersebut tidak berlaku seperti yang didakwa.
Saya tiada ‘personal’ dengan sesiapa, tiada rasa kecewa atau suka dalam kita menyiasat apa-apa kes.
Hari ini, Ahli Parlimen Muar iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan atas kesalahan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, yang membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman tersebut.