Syed Saddiq, dari Pendebat Terbaik menjadi Menteri Termuda

Trending

Syed Saddiq, dari Pendebat Terbaik menjadi Menteri Termuda

Satu demi satu sejarah dicipta oleh jejaka segak berkaca mata, Syed Saddiq Abdul Rahman. Sebelum ini Syed Saddiq mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai pendebat terbaik dunia. Sejarah besar untuk negara dan untuk dirinya sendiri.

Kali ini, Syed Saddiq yang kini ahli parlimen Muar melakar sejarah baharu apabila menjadi Menteri termuda dalam sejarah politik negara selepas dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan ke-18 yang baharu.

Advertisement

Menurut Harian Metro, Saddiq berjaya memecahkan rekod Menteri paling muda sebelum ini, iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menjawat jawatan Menteri di portfolio yang sama pada usia 33 tahun.

Hebat sungguh graduan dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ini.

Lantang bersuara dan mengutarakan pandangan sesuai dengan penglibatannya dalam perdebatan, namanya menjadi sebutan masyarakat khususnya anak-anak gadis.

Mana tidaknya, Syed Saddiq kini menjadi antara anak muda dan Menteri yang glamor apabila laman Facebooknya mempunyai 225,432 pengikut manakala Instagramnya mempunyai hampir Sejuta pengikut, 997,000 pengikut.

Menteri termuda ini pernah dilarang daripada membuat perkongsian di 4 buah universiti awam. Nama Syed Saddiq mula diperkatakan apabila dia lantang mengkritik isu 1MDB.

Dia juga tidak pernah gentar untuk diajak berdebat dalam apa jua isu khususnya membabitkan isu negara.

Hebat bukan orang yang pandai berdebat. Berani menyatakan hujah yang berasaskan fakta.

Posisi sebagai Menteri Belia dan Sukan menjadi tanda tanya panas sebelum ini memandangkan penyandang terdahulu, YB Khairy Jamaluddin bukan calang-calang orang.

Jom kita tengok siapa sebenarnya Syed Saddiq ini.

Profil

Nama Penuh : Syed Saddiq Abdul Rahman
Tarikh Lahir : 6 Disember 1992
Adik beradik : Anak kedua dari empat adik beradik
Nama bapa : Syed Abdul Rahman Abdullah Al-Sagoff
Nama ibu : Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz

Pendidikan

Mendapat Pendidikan awal di Maktab Sultan Abu Bakar sebelum menyambung pengajian di Maktab Tentera Diraja.
Melanjutkan pengajian di UIA dalam bidang Undang-Undang. Syed Saddiq juga mendapat tawaran belajar peringkat Sarjana Pentadbiran Awam Blavatnik School of Government, Universiti Oxford, United Kingdom.
Felow Akademik, Universiti Temple, Amerika Syarikat

Anugerah

Pendebat Terbaik Asia (3 kali)
Pendebat Terbaik Oxford & Cambridge Intervarsities (3 kali)
Pendebat Terbaik Dunia Islam OIC (2 kali)
Penerima Anugerah Belia Perdana oleh Perdana Menteri Malaysia
Penerima Anugerah Tokoh Siswa oleh Menteri Pendidikan
Penerima Anugerah Ikon Varsiti oleh Berita Harian

Kerjaya

Pegawai Penyelidik kepada Tun Dr Mahadhir Mohamad (2017 – kini)
Pegawai Khas (sambilan) kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2016)
Pegawai Penyelidik Bait al-Amanah (Badan Pemikir Kerajaan Johor (2015-2016)
Jurulatih Debat Antarabangsa (melatih di lebih 25 negara) (2012 – kini)
Pensyarah sambilan UIA (2013-2016)

Politik

Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) (2016)
Ketua Armada PPBM merangkap Naib Presiden PPBM (2016-kini)
Ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (2017-kini)
Ahli Parlimen Muar (2018)

Trivia Syed Saddiq

1. Tahukah korang Syed Saddiq pada 6 tahun lalu sangat berbeza berbanding sekarang. Menurut Malay Mail, walaupun hebat berdebat pada peringkat antarabangsa, Syed Saddiq tidak pernah mendapat A dalam bahasa Inggeris.
2. Pernah menganggap Africa dan Mesir sebagai sebuah benua. Lucunya, Syed Saddiq pernah menyebut recipe dengan bunyi reh-sip.
3. Mengaku dirinya seorang anak emak dan sering membantu ibunya mengajar tuisyen.
4. Berpendapat bahawa untuk mengubah nasib negara, dia perlu mengambil bahagian dalam politik (Sedang dilakukan).
5. Syed Saddiq percaya semua matlamat untuk menyelamatkan Malaysia mesti melalui rasa cinta dan nasionalisme.
6. Syed Saddiq sangat berpegang pada kata-kata ibunya bahawa orang pertama yang berada di hadapan untuk menyokongnya ialah ibunya.

7. Beliau percaya ibunya seorang wanita yang hebat dan hanya memerlukan sokongan daripada wanita itu.

8. Menurut Syed Saddiq dalam temubualnya bersama Pepatung, dia mendapat tentangan daripada keluarga pada peringkat awal.

9. Namun, ugutan bunuh yang pernah diterima membuatkan ibunya menggalakkan beliau meneruskan perjuangan.

10. Syed Saddiq sangat menyanjung tinggi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan mengganggap bahasa ‘Malaysia’ ini sebagai bahasa penyatuan antara kaum.

11. Merupakan peminat penyanyi popular kelahiran Amerika Syarikat, Selena Gomez, Iron Maiden dan Maher Zain.

12. Siapa sangka, seorang ustazah pernah menjangkakan Syed Syadiq (ketika bersekolah agama di Johor) akan menjadi penagih dadah dalam masa 5 tahun kerana kenakalannya.

Baru sahaja selesai mengangkat sumpah hari ini di Istana Negara, Syed Saddiq mahu memastikan orang muda menjadi peneraju utama agenda pembangunan negara. Beliau juga berazam untuk memastikan nasib atlet negara akan terus dibela dan dijaga.

Kredit gambar : Syed Saddiq

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...