Terbaru, melalui laporan Berita Harian, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata Ahli Parlimen Muar iaitu YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berniat jahat dengan berselindung di sebalik alasan manfaat politik bagi mengarahkan pengeluaran RM1 juta daripada akaun ARMADA.
Kata Wan Shaharuddin lagi, Ahli Parlimen Muar menggunakan pengeluaran dana tersebut dengan alasan khuatir akan berlaku pergolakan dalam parti dan wang di dalam akaun ARMADA adalah hasil titik peluhnya merupakan tindakan yang salah.
Tambahannya lagi, niat jahat Syed Saddiq dapat dilihat melalui tindak-tanduknya bermula pada 6 Mac 2020 sehingga 28 Mei 2020 apabila tidak memegang sebarang jawatan di BERSATU dan ARMADA.
Adalah hujahan kami, arahan yang diberikan oleh perayu kepada SP13 itu mempunyai kaitan rapat dengan Langkah Sheraton. Perayu seolah-olah menjadikan wang di dalam Akaun ARMADA seperti miliknya sendiri yang boleh beliau gunakan sewenang-wenangnya tanpa membuat sebarang kertas kerja.
Sekadar info, Syed Saddiq merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023, yang menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun dan dua sebatan serta denda sebanyak RM10 juta selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang dana ARMADA.