Syarikat pengilang tudung, Feline Malaysia mendakwa syarikat milik selebriti terkenal, Nur Fazura Sharifuddin, berhutang sebanyak RM4.65 juta berikutan kegagalan melunaskan bayaran penuh bagi tudung yang dibekalkan sejak Jun 2022, memetik The Rakyat Post.
Dalam dokumen pernyataan tuntutan, Obor Holding Sdn Bhd (pemilik Feline Malaysia) menyatakan syarikat Pink Fate Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan Fazura, hanya menjelaskan RM2.68 juta daripada jumlah invois RM7.33 juta.
Tuntutan turut menamakan Fazfit Sdn Bhd, Ahmad Faiz Sharifuddin (abang Fazura), dan Nur Fazura sendiri sebagai defendan. Pesanan tambahan bernilai RM3.6 juta bagi projek Koleksi Merdeka 2024 didakwa dibuat walaupun terdapat tunggakan sedia ada.
Jumlah yang tertunggak telah disatukan dengan baki tertunggak sedia ada menjadikan jumlah tunggakan keseluruhan sebanyak RM4,650,029.14.
Feline turut mendakwa diberi keyakinan bahawa pembayaran akan diterima kerana projek tersebut melibatkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan rakan kongsi lain seperti BOH dan Institut Kanser Negara.
Namun, sehingga kini tiada bayaran diterima, malah cek RM1 juta yang diberikan oleh Faiz dan Fazura pada September 2024 dilaporkan tidak dapat ditunaikan (cek tendang).
Fazura dilaporkan telah melepaskan jawatan pengarah Pink Fate pada Januari 2025, namun Faiz kekal sebagai pengarah. Obor Holding kini sedang memfailkan penghakiman ingkar terhadap syarikat berkenaan.
Setakat ini, tiada maklum balas rasmi diberikan oleh pihak Fazura atau pengurusannya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.