Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana antara pasangan yang di label penuh kasih sayang dan perasaan cinta antara satu sama lain oleh peminat apabila kebahagiaan mereka jelas terserlah dalam setiap foto mereka di laman Instagram.
Jarang menghiasi mana-mana kolum hiburan atau dada akhbar, peminat ingin mengetahui apakah perbezaan yang mereka rasakan selepas bergelar suami isteri. Menerusi akhbar Utusan Malaysia, Syamsul menyatakan kehidupan bujang dan berkahwin banyak bezanya. Kini kehidupan beliau lebih bahagia dan berwarna-warni.
Selepas kahwin, hidup saya semakin bahagia dan penuh warna-warni kerana isteri selalu membuatkan saya ceria dan menguruskan hal makan serta minum. Belum beristeri dulu, saya makan tidak tentu masa. Sekarang, semuanya terurus. Perkara ini membuatkan saya sangat bersemangat untuk bekerja ditambah dengan sokongan seorang isteri.
Syamsul menyifatkan isterinya itu seorang yang penuh dengan sifat kasih sayang. Selepas mereka berkahwin tahun lalu, sifat itu semakin terserlah. Sarah juga merupakan seorang yang manja dan mengikut perintah suami dengan baik.
Kasih sayang yang Sarah berikan membuatkan saya tersentuh sangat. Selain itu, dia juga manja dan mudah ketawa dengan gurauan saya. Boleh kata, Sarah seorang isteri yang mendengar kata dan nasihat suami serta penyabar orangnya.
Berbicara soal anak, kedua-duanya mempunyai impian untuk memiliki cahaya mata tetapi redha dengan ketentuan takdir yang masih belum memberikan mereka rezeki untuk mendapat anak. Jelas Puteri Sarah mereka juga stidak pernah membuat sebarang perancangan dalam soal tersebut.
Saya memang tidak sabar untuk melihat bagaimana rupa anak kami itu nanti. Tapi, yalah rezeki untuk ada anak belum berpihak kepada kami. Kalau Tuhan tidak beri rezeki anak kepada kami, saya pasti akan ada perkara lain yang diberikan-Nya untuk menambahkan kebahagiaan kami.
InshaAllah, satu hari nanti pasti Allah SWT akan memakbulkan doa Syamsul Yusof dan Puteri Sarah untuk mendapat cahaya mata mereka sendiri. Manis sungguh kami melihat anda berdua, harapnya akan terus bahagia seperti ini sehingga ke akhir hayat.