Berkongsi kisah bagaimana bapanya Gottfried Roelcke terperangkap selama empat bulan di Bangkok, Thailand akibat wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia, pelakon jelita Maya Karin tampil mendedah pengalaman itu kepada umum.
Menurutnya, beliau kini seakan mampu menghembus nafas lega dan menzahirkan rasa gembira apabila bapanya kini telah selamat sampai ke negara asal iaitu German selepas terperangkap seorang diri di Bangkok.
“Saya tak dapat gambarkan perasaan gembira. Kebetulan dia berada dalam penerbangan pulang daripada Afrika, tetapi Vietnam ditutup. Jadi dia terperangkap di Bangkok dalam tempoh yang lama.”
Ujar Maya, meskipun terperangkap seorang diri namun bapanya dikhabarkan langsung tidak pernah mengeluh dengan keadaan yang dilaluinya.
“Dia tak pernah complain. I tried my best to get him here tapi undang-undang larang. No one allowed into Malaysia.”
Sekadar informasi, Maya merupakan aktres kacukan yang dilahirkan di Bayreuth, Bavaria, German. Terkenal dengan bakat lakonan yang penuh dengan penghayatan, nama Maya sering menyinari persada seni tanah air.
Untuk rekod, Maya memulakan kariernya sebagai seorang model. Namun begitu, Maya mula mencipta nama selepas membintangi filem pecah panggung iaitu Pontianak Harum Sundal Malam.