Lelaki yang didakwa menggunakan MyKad milik seorang individu lain untuk membuat pinjaman membeli telefon pintar telah ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurut Malaysiakini, lelaki tempatan berusia 35 tahun itu diberkas susulan aduan seorang individu sebelum ini yang menyedari identitinya telah disalahgunakan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, mangsa sebelum ini pernah kehilangan MyKad beberapa tahun lalu dan baru-baru ini terkejut apabila mendapati rekod pembelian iPhone 16 Pro Max 1TB secara pembiayaan pinjaman di sebuah kedai di Cheras.
Dia kemudian segera membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana mengesyaki MyKad miliknya telah diklon individu lain.
Hasil risikan dan siasatan JPN, suspek tersebut telah dikenal pasti dan ditahan di Kampung Pandan, Kuala Lumpur dan polis turut menemukan sekeping lagi MyKad yang disyaki palsu ketika melakukan pemeriksaan badan ke atasnya.
Kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) dan Peraturan 25(1)(o) di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana memiliki MyKad orang lain serta menggunakan dokumen pengenalan diri palsu.