Dalam perkembangan siasatan kes kebakaran misteri yang berlaku secara bersiri sejak Disember tahun lalu di Kupang, Baling, polis akhirnya menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat.
Menurut Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh, hasil siasatan pihaknya mendapati dendam dipercayai menjadi punca lelaki itu bertindak membakar sembilan rumah di Kupang dekat sini sejak hujung bulan lalu hingga awal bulan ini.
Tambahnya, suspek adalah penganggur berusia 23 tahun dan merupakan penduduk di Kupang telah ditahan pada 12.30 tengah malam Isnin lalu.
Kesemua sembilan kes khianat dengan api yang dilakukan suspek adalah berpunca daripada perasaan dendam kerana sering dibuli di tempat kerja sebelum ini.
Ujarnya lagi, suspek juga dipulaukan oleh penduduk setempat dan sebahagian daripada mangsa kejadian kebakaran itu mengenali suspek.
Fisol berkata, suspek sebelum ini bekerja di sebuah kilang getah dan berhenti kira-kira tiga bulan sebelum kebakaran pertama berlaku sejak 24 Disember tahun lalu.
Pihak polis percaya suspek telah bertindak membakar sembilan rumah di Kupang sebelum ini disebabkan perasaan dendam.
Modus operandi suspek adalah dengan mencurahkan petrol ke atas motosikal dan membakarnya sebelum api merebak ke rumah penduduk.
Kebakaran sembilan rumah dipercayai berlaku antara 2 pagi hingga 5 pagi, menyebabkan dua kenderaan dan 18 motosikal terbakar, dengan kerugian sebanyak RM770,000.
Suspek direman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.