Saya sempat membaca beberapa posting saudara Suhaimi Saad tentang vaksin di facebook beliau.
Ini beberapa kekeliruan beliau dan penjelasan daripada kami.
1) Isu vaksin halal.
Majlis Fatwa Kebangsaan sudah beberapa kali mengadakan muzakarah sejak tahun 1988 berkenaan hukum penggunaan vaksin. Setakat saat yang ditulis ini, semua vaksin adalah harus kecuali vaksin Biothrax, Rotateq dan Meningocoocal Meningitis Monumune.
Untuk pengetahuan, ketiga-tiga vaksin ini tidak termasuk dalam program imunisasi nasional yang diwajibkan kepada kanak-kanak Malaysia.
Jadi, tidak ada isu halal atau tidak bagi ibu bapa yang membiarkan anak mereka divaksin mengikut jadual program imunisasi nasional.
2) Pemahaman tentang sunnah nabi dalam konsep berubat.
Beliau mengaku tidak mengambil vaksin untuk anak-anak dan hanya mengamalkan penyusuan ibu, kurma, habbatus sauda’, madu dan air yang dibacakan ayat Al-Quran untuk perawatan keluarganya.
Saya ingin bertanya kembali kepada saudara Suhaimi, jika benar itulah konsep rawatan yang Islam mahukan daripada umatnya, kenapakah muncul ramai tokoh-tokoh perubatan Muslim di zaman kegemilangan tamadun Islam yang telah mencipta pelbagai kaedah rawatan dan inovasi perubatan yang seterusnya dimanfaatkan oleh seluruh dunia?
Tokoh-tokoh seperti Az-Zahrawi, Ibn Sina, Ibn Nafis, Ar-Razi tidakkah mereka mengambil semangat daripada roh Islam yang menyeru untuk kita mengembangkan tamadun dan bukan menguncupkannya kembali? Kenapa mereka tidak guna kurma, habbatussauda’, madu dan air jampi sahaja untuk merawat?
Kita tidak menafikan kebaikan makanan sunnah, tapi menafikan manfaat perubatan moden yang Allah telah beri nikmat kepada kita hari ini, tidakkah itu kufur nikmat namanya?
Saya pasti saudara Suhaimi telah membaca kisah wabak taun di zaman Saidina Umar r.a. Bukankah peristiwa itu masyhur di mana Saidina Umar r.a. mahu berjumpa dengan Abu Ubaidah r.a. di Syam namun oleh kerana sedang menularnya wabak taun di Syam, Saidina Umar memutuskan untuk bertemu Abu Ubaidah di luar Syam. Lalu Abu Ubaidah bertanya, adakah beliau mahu lari dari takdir Allah? Lalu Saidina Umar menjawab, aku lari dari takdir Allah kepada takdir Allah yang lain.
Nah, sahabat Nabi pun mengamalkan kaedah pencegahan penyakit. Kenapa mereka tidak tawakkal saja masuk ke Syam dan makan habbatussauda’, madu dan air jampi? Sebab Islam tak sempitkan konsep berubat. Siapa yang lebih faham tentang sunnah Nabi? Sahabat Nabi SAW atau anda wahai Suhaimi?
Sheikh Yusuf Al-Qaradawi juga pernah menyebut rahsia umat Islam dulu berkembang adalah kerana konsep yang mereka amalkan iaitu “Mendirikan agama berdasarkan ikutan, mendirikan dunia berdasarkan ciptaan”. Maksudnya, dalam bab aqidah dan ibadat, kita tak boleh mereka-reka, tetapi mestilah mengikut secara sepertimana ianya diperintahkan. Solat 5 waktu tak boleh direka menjadi 6 waktu atas alasan mahu lebih taat. Tetapi berbeza dengan hal urusan dunia, Islam memberikan kebebasan kepada manusia untuk mencipta reka untuk kebaikan tamadun manusia. Tidak terikat kepada situasi pada zaman Nabi SAW sahaja.
Bukankah antara tugas kita sebagai khalifah adalah untuk memakmurkan dunia? Di manakah kemakmuran jika kanak-kanak mati dan sakit di sana-sini?
3) Islam memberikan hak kepada yang pakar
Perlu diketahui tidaklah semua yang dikatakan oleh Nabi SAW itu wajib diikuti 100%. Islam memberikan hak kepada yang pakar untuk membuat keputusan dalam bidangnya. Ini seperti yang direkodkan dalam satu hadis riwayat Muslim di mana Nabi SAW mencadangkan kepada beberapa sahabat tentang tanaman kurma, dan akhirnya tanaman kurma itu tidak menjadi dan para sahabat mengadu kepada Nabi SAW, maka jawapan baginda ialah “Kamu lebih mengetahui tentang urusan duniamu.”
Dalam hal ini, urusan perubatan imunologi ada pakar dan autoritinya dan saranan mereka terbukti dengan kajian, maka kenapa kita masih berdegil walaupun bukti sudah ada di depan mata?
Kematian kanak-kanak di Malaysia sudah berkurang sebanyak 85% sejak 1970. Dunia pula telah berjaya menghapuskan penyakit smallpox dan hampir berjaya menghilangkan penyakit polio dari muka bumi, hasil dari vaksinisasi.
4) Kenapa kami marah kalau ada ibu bapa yang tak mahu vaksinkan anak-anak?
Kerana di kalangan anak-anak kecil, ada yang tidak boleh menerima vaksin atas sebab perubatan, contohnya kanak-kanak yang belum cukup usia matang untuk menerima vaksin dan juga kanak-kanak yang mengalami sistem pertahanan badan yang lemah, contohnya kanak-kanak yang menghidap kanser.
Jadi mereka ini dilindungi daripada penyakit berjangkit hanya bila orang sekeliling mereka tidak membawa penyakit tersebut. Jika mereka terdedah dengan kanak-kanak yang membawa penyakit tersebut, maka mereka berisiko mendapat penyakit tersebut. Inilah yang dipanggil herd immunity. Ini tanggungjawab kita bersama. Bukan anak aku sukahati aku, itu pentingkan diri namanya.
Semoga bermanfaat’
Sumber: Rakan Medik