Ahli geologi memberi amaran dua pertiga populasi dunia ini akan pupus sekiranya kawah berapi Yellowstone meletus.
Kesan dari letusan ini akan menyebabkan seluruh Amerika musnah menurut Dr Jerzy Zaba dari University of Silesia di Poland.
Letusan ini sangat berbahaya dan ia merupakan kejadian alam yang tidak dapat dielakkan, lapor Daily Star.
Kawah berapi yang terletak di Yellowstone National Park di Wyoming, Amerika Syarikat ini dilapor bakal meletus pada bila-bila masa sahaja dengan beberapa amaran dikeluarkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Saya menjangkakan letusan yang sama seperti 640,000 tahun dahulu bakal berlaku sekali lagi dan letusan itu sangat hebat sehingga memusnahkan kebanyakan daerah di AS.
“Bahan-bahan letusan dari kawah itu akan meliputi segalanya dalam radius 500 kilometer.
Malah, akibat dari debu dan pembebas gas dari sulfur monoksida ke ruang udara akan menyebabkan cuaca sejuk.
Saya turut menjangkakan akibat dari letusan kawah berapi yang menyebabkan perubahan iklim secara drastik, lebih lima bilion penghuni dunia ini akan mati akibat kelaparan,” katanya sepertimana laporan portal Wirtualna Polska.
Sebagai langkah keselamatan awal, Dr Zaba berkata satu-satunya cara yang boleh dilakukan adalah dengan melakukan pemindahan penduduk setempat secara besar-besaran terutamanya apabila ada tanda-tanda letusan dalam masa terdekat ini.
Untuk rekod, sejak 2.1 juta tahun dahulu kawah berapi itu pernah meletus sebanyak tiga kali dan landskapnya akan berubah setiap kali ia terjadi.
Sejak 2001, badan organisasi yang menjalankan kajian pemerhatian dikenali sebagai The Yellowstone Volcano Observatory (YVO) yang diketuai oleh Kajian Geologi AS telah melakukan pemerhatian terperinci kawah berapi itu.