Pelakon, Sharnaaz Ahmad yang baru-baru ini kehilangan bapa tersayang menasihatkan setiap individu untuk terus menabur bakti dan menjaga kedua orang tua selagi mereka masih bernyawa.
Sharnaaz atau nama lengkapnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad berkata, kehilangan ibu bapa merupakan satu perkara yang pahit untuk ditempuhi.
Namun, dia tetap memanjatkan rasa syukur kerana menganggap ujian tersebut sebagai bukti Tuhan masih menyayanginya.
Perit kehilangan itu sangat dahsyat. Terima kasih Allah atas dugaan yang hebat tandanya Dia sayang kita.
Dia berkata perkara yang paling perit untuk dilalui adalah apabila perkara yang kerap dilakukan ibu bapa terhadap anak-anak hilang secara tiba-tiba.
Semasa ada, soalan berulang, berleter semua tu buat kita sakit kepala tetapi kawan-kawan, bayangkan apabila semua itu tiada.
Dapat dengar sekali lagi pun jadilah, sekali sahaja tetapi sudah tiada semua itu.
Sunyi yang maha sunyi. Hargailah ya kawan-kawan.
Dalam pada itu, pelakon itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang menghubunginya mengucapkan takziah dan menitipkan doa selepas pemergian bapanya iaitu Allahyarham Datuk Basir Ahmad Nazir Ahmad.