Selepas didapati bersalah membunuh bayi perempuan mereka yang dilahirkan pada tahun 2017, sepasang kekasih dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun.
Difahamkan, Fikri Hakim Kamaruddin, 27, dan Nurul Filzatun Sahirah Abdul Aziz, 28, terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan melaksanakan pindaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
Bagaimanapun, mahkamah telah memerintahkan Fikri dikenakan sebatan 12 kali dan ini merupakan kes pembunuhan pertama yang didengar oleh Mahkamah Rayuan selepas pindaan undang-undang itu pada April lalu.
Mengikut fakta kes, Filzatun telah melahirkan bayinya di sebuah rumah sebelum membawanya ke wad kecemasan di Hospital Kota Tinggi kerana mengalami pendarahan selepas bersalin.
Filzatun memberitahu seorang jururawat bahawa dia telah melahirkan bayi namun telah diambil oleh teman lelakinya. Pada 5 Disember 2017, Fikri memaklumkan kepada seorang pegawai polis bayi itu telah dikebumikan dan membawa pasukan polis ke kawasan hutan di Kampung Panti Kota Tinggi.
Selepas menggali kawasan itu, pasukan polis melaporkan telah menemukan mayat bayi seberat 1.8kg dan hasil bedah siasat mendapati dia masih hidup ketika dilahirkan namun meninggal disebabkan lemas.
Polis turut menemui stokin kecil berwarna hitam dan biru yang disumbat ke dalam mulut bayi tersebut. Fikri dan Nurul Filzatun ditahan pada 5 Disember 2017.
Pasangan itu yang bercinta sejak 2016 didapati bersalah membunuh bayi perempuan mereka di sebuah rumah di Taman Bandar Penawar Utama, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor Bahru antara 10.50 malam pada 12 Disember 2017 dan 10.41 pagi keesokan harinya.
Difahamkan, pasangan kekasih itu turut mempunyai seorang lagi anak namun telah diserahkan di bawah jagaan orang lain yang tidak diberitahu identitinya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.