Sultan Selangor Arah Turunkan Papan Tanda Tulisan Cina Sebelum Hari Keputeraan

Trending

Sultan Selangor Arah Turunkan Papan Tanda Tulisan Cina Sebelum Hari Keputeraan

Sebelum ini tular di media sosial seorang penduduk Shah Alam mempersoalkan tentang papan tanda nama jalan di kawasan tempat tinggalnya yang menggunakan tulisan cina.

Advertisement

Individu berkenaan turut mempersoalkan ke mana menghilangnya tulisan Jawi yang sebelum ini digunakan pada papan tanda nama jalan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han memaklumkan papan tanda dwibahasa dibenarkan di Kampung Baru Cina dan Kampung Baru Melayu.

Menurutnya, penggunaan tulisan Cina selain bahasa kebangsaan di papan tanda beberapa kampung baru Cina sudah wujud sejak beberapa tahun lalu. Jadi, pelik kenapa perkara itu menjadi isu.

Oleh disebabkan isu ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengarahkan supaya semua papan tanda di Shah Alam yang mempunyai tulisan bahasa Cina ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan dengan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.

Arahan itu disampaikan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

“Operasi penukaran papan tanda jalan ini hendaklah dilaksanakan dengan segera dan dapat diselesaikan selewat-lewatnya sebelum tarikh sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-73 Sultan Selangor iaitu pada 11 Dis ini.”

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga telah memberi maklum balas mengenai isu papam tanda itu, memaklumkan mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Selangor yang diadakan pada 13 Jan 2017 memutuskan penggunaan papan tanda nama jalan dwibahasa selain daripada tulisan rumi.

Menurut MBSA, penggunaan nama jalan di kawasan kampung tradisi menggunakan tulisan Jawi manakala di kawasan kampung baharu menggunakan tulisan bahasa Cina bersesuaian dengan komuniti penduduk di kawasan tersebut.

Terdahulu, aktivis masyarakat, Datuk Mohd Razlan Rafii mempersoalkan sama ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah tidak mempunyai kuasa dalam proses kelulusan penggunaan bahasa di papan tanda.

Dan semalam, DBP telah mengeluarkan kenyataan media di Facebook rasmi mereka mengenai isu ini.

Dalam kenyataan itu, DBP mengatakan bahawa, penggunaan Bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan dan hendaklah digunakan sebagai bahasa utama dalam semua utusan rasmi kerajaan sama ada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Bahasa yang digunakan dalam papan tanda jalan juga terangkum sebagai bahasa yang digunakan dalam urusan rasmi.

Sumber:Sinar harian

 

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...