Rutin pekerjaan kita pastinya telah banyak berubah semenjak pandemik COVID-19 melanda dunia. Akibat perintah berkurung dan kawalan pergerakan ramai kini yang bekerja dari rumah dan tidak kurang pula ada yang terpaksa diberhentikan kerja.
Bagi menampung perbelanjaan dalam situasi yang sukar ini, ramai yang memilih untuk beralih kerja sebagai penghantar makanan. Sebelum ini, angkasawan pertama Malaysia, Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor turut memilih untuk menjadi rider penghantar bagi restoran miliknya.
Terbaru di Jepun, pemenang pingat perak sukan Olimpik, Ryo Miyake turut melakukan perkara yang sama.
Menolak wang daripada penaja
Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang kini telah ditangguhkan, membuatkan atlet lawan pedang (fencer) dari Jepun, Ryo Miyake beralih ke perkhidmatan penghantaran Uber Eats. Walaupun dia ditawarkan wang daripada penaja, dia memutuskan untuk menolaknya.
“Saya rasa agak kurang bernas untuk menerima sokongan dalam situasi seperti ini, jadi saya memilih untuk menolaknya buat masa sekarang.”
Dia menyatakan bahawa alasannya untuk beralih sebagai penghantar makanan adalah untuk menyimpan wang bagi pertandingan di masa hadapan dan juga bagi menjaga tahap kecergasannya. ini kerana dia menggunakan basikal untuk membuat penghantaran.
Adalah penting bagi setiap atlet untuk mengekalkan stamina dan kecergasannya. Namun, akibat wabak COVID-19, semua perniagaan termasuk pusat kecergasan ditutup sementara. Latihan lawan pedang turut dihentikan kerana ia memerlukan lebih daripada seorang untuk berlatih.
Baginya pekerjaan penghantaran adalah pilihan terbaik, kerana dia dapat kekal cergas disamping mendapat wang tambahan, terutamanya ketika dia berbasikal di tempat berbukit dan jalan terpencil.
Dia yang memperolehi ¥ 2.000 sehari, gembira kerana dapat menambah simpanannya tanpa perlu bergantung pada tajaan.