Biduanita negara, Siti Nurhaliza meluahkan rasa kurang senang terhadap tindakan individu tidak bertanggungjawab yang memaparkan keadaan pentas konsertnya ketika masih dalam proses pembinaan.
Pemilik nama Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata rakaman yang dimuat naik itu boleh mencetuskan pelbagai spekulasi dan salah faham dalam kalangan orang ramai sedangkan persiapan konsert masih belum siap sepenuhnya.

Dalam masa sama, pelantun lagu Menamakan Cintamu itu berharap orang ramai tidak membuat penilaian awal hanya berdasarkan klip video berkenaan.
“Ni yang saya marah bila suka-suka masuk dan buat video. Semua belum siap dan yang tengok video ini pun tidak perlu buat penilaian awal ya,” katanya.
Terdahulu, seorang pengguna TikTok memuat naik rakaman yang memaparkan keadaan persiapan pentas di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi Konsert Legasi 30 Siti Nurhaliza yang dijadualkan berlangsung pada 10 Januari ini.
Perkongsian tersebut kemudiannya mengundang pelbagai reaksi kurang enak daripada netizen, sekali gus mendorong penyanyi tersohor itu tampil memberikan penjelasan bagi mengelakkan sebarang salah faham.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
