Teknologi yang semakin canggih menjadikan manusia sanggup untuk melakukan apa sahaja untuk kepentingan peribadi.
Baru-baru ini tular kes wanita menjadi mangsa kepada individu yang tidak bertanggungjawab mencuri gambarnya untuk tujuan mencari jodoh di laman sosial. Perkara sebegini akan memberi kesan buruk kepada tuan badan.
Menerusi ciapan di Twitter, wanita yang ingin dikenali Arifah Raedah memuat naik paparan skrin yang menunjukkan akaun palsu Facebook yang dibuat oleh ‘scammer’ di mana ia menggunakan nama dan foto Arifah bertujuan mencari pasangan hidup dan perkongsiannya meraih melebihi 4,000 retweet.
Sementara itu, Arifah yang juga seorang pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN) berkata dia hanya menyedari perkara tersebut selepas beberapa kenalan dan bekas anak muridnya yang memaklumkan perkara itu kepadanya.
“Beberapa hari lalu ada kenalan dan pelajar hantar mesej di WhatsApp dan Direct Message (DM) beritahu. Memang terkejut juga. Orang tu curi gambar-gambar saya dari Instagram dan buat akaun baru Facebook…. untuk iklankan diri di grup cari jodoh pula tu”.
“Bahagian umur pun sama… dia main suka hati letak umur 44 tahun, padahal saya muda lagi .Dua grup dia iklankan diri. Itu yang saya jumpa, yang saya tak jumpa pula? Gambar dan nama memang sama, tapi butiran diri semuanya salah. Tapi yang tak boleh tahan, bahagian status tu dia letak ‘ibu tunggal’ kepada dua anak”.
Tanpa mengelirukan ramai pihak, beliau segera membuat perkongsian di media sosialnya untuk menjelaskan perkara berkenaan dan meminta pengikutnya untuk membuat ‘report’ kepada akaun Facebook itu.
“Bila suami tahu pasal ni, terutama pasal status ibu tunggal, reaksinya hanya tergelak sahaja.. tak melenting pun. Kami anggap ini kerja orang yang tak matang”.
Arifah yang mempunyai pengalaman mengajar selama 11 tahun berkata dia akan memuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)
“Ada yang kata benda ni jadi mungkin sebab saya selalu muat naik gambar di Instagram. Sebenarnya saya ni dalam masa yang sama buat paid review tolong promosikan barangan yang dijual oleh orang lain dan sudah semestinya kena letak mode ‘public’ dan muat naik gambar”.
“Kepada yang diluar sana, jadilah diri sendiri, tak perlu jadi orang lain… tak perlulah curi identiti orang lain. Setiap orang ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri”.
Tambahan, dia tidak akan menolak untuk mengambil tindakan lebih tegas sekiranya perkara yang sama berulang kembali.