Akui sudah lali dengan permainan dunia seni selepas kira-kira lapan tahun bertapak, pelakon jelita Reen Rahim mendedahkan dirinya kian kebal berdepan dengan segala kecaman yang dilemparkan kepadanya.
Menurutnya, beliau kini dilihat sudah terbiasa dengan sepak terajang dunia hiburan. Hal ini kerana, penampilannya yang seksi dan menjolok mata sering menjadi buah mulut netizen di media sosial.
Malah dirinya yang sering memainkan watak sebagai gadis kampung ketika muncul di kaca televisyen telah menyebabkan wujud segelintir pihak seakan melihat gaya hidup Reen bagai tidak seiring dengan watak yang dilakonkan.
“Lakonan adalah minat saya. Kehidupan sebenar pula ketika saya menjadi diri sendiri, bukannya pelakon. Saya mahu berkongsi bakat menerusi lakonan, usah campur aduk realiti kehidupan saya sebenar.”
Bagaimanapun, selain tidak kisah dengan sebarang komen kecaman dek gaya berpakaian yang di kongsi dalam media sosial, Reen juga kini bertindak mengambil pendekatan menutup ruangan komen di laman Instagram.
“Saya sudah tiada perasaan apabila diasak netizen. Jadi, saya ambil langkah menutup ruangan komen untuk gambar tertentu daripada membiarkan komen negatif.
Diusik dengan soalan cepu emas berhubung percintaan dengan kekasih di Scotland, Reen dilihat enggan mengulas lanjut soal peribadi.
Untuk rekod, selain banyak membintangi drama tempatan, Reen juga sebelum ini banyak membintangi filem-filem popular seperti Gangster Celop, Soulmate Hingga Jannah dan Mawar Putih.
Sumber: BH Online