Nama Sugu Pavithra sebagai YouTuber di Malaysia semakin melonjak naik dan mendapat perhatian ramai. Namun, di sebalik kejayaan yang dicapainya kini, siapa sangka dia pernah melalui saat sukar ketika membesar dahulu. Menurutnya, dia terpaksa berhenti daripada sekolah kerana kesusahan hidup yang dilaluinya.
Baca: Hanya Kerana Hasad Dengki, Sugu Pavithra Dibuli Dan Didesak Oleh Netizen Untuk Tutup Akaun YouTube
Semasa di bangku persekolahan, dia tidak dapat menghabiskan persekolahannya kerana berhadapan dengan masalah kesempitan wang. Walaupun tidak dapat menamatkan zaman persekolahan, dia dahulunya merupakan seorang pelajar cemerlang dan sering mendapat keputusan peperiksaan yang cukup baik.
Hidup susah
Semasa di sekolah rendah dahulu, dia mendapat keputusan 5A untuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Namun sayangnya, dia tidak dapat menghabiskan Sekolah Menengah kerana berhenti semasa di Tingkatan Empat.
“Saya dari kecil memang susah. Hari-hari pergi sekolah, naik bas tambang, tapi selalu tak dapat pergi sekolah sebab susah. Jadi, saya tak dapat belajar dengan baik.”
Sebaik sahaja dia berhenti sekolah, dia membantu bapanya yang merupakan buruh binaan untuk mencari wang dengan bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang. Anak kedua daripada lima adik beradik itu mula menggalas tugas sebagai kakak sulung memandangkan ketika itu kakaknya dijaga oleh nenek mereka.
Ramai kawan Melayu
Sugu yang dilihat cukup fasih berbahasa Melayu itu mendedahkan dia mempunyai ramai kawan Melayu semasa bekerja di kilang tersebut. Oleh kerana dia lebih banyak bergaul dengan rakan-rakan Melayu di kilang, daripada situ lah Bahasa Melayu nya menjadi semakin baik dan fasih.
Tambahan pula, subjek Bahasa Melayu merupakan subjek kegemarannya semasa di sekolah dahulu. Siapa sangka, bermula daripada situ dia dapat memperbaiki bahasa itu sehinggakan membantunya menjana pendapatan di YouTube. Sugu kini semakin mendapat perhatian ramai menerusi video masakan yang dilakukan di platform tersebut.
Video masakannya itu meraih tontonan yang tinggi sehinggakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiahkan tripod dan kad ucapan khas kepadanya. Hadiah yang diberikan itu adalah sebagai salah satu tanda sokongan kepada Sugu untuk terus menghasilkan video masakannya itu.
Artikel berkaitan: Sugu Pavithra Terima Kad Ucapan Dan Hadiah Tripod Daripada Perdana Menteri