Penyanyi baharu Suekhaizhar menjadi perbualan pengguna media sosial selepas lagu nyanyiannya yang bertajuk Aku Budak Girl dimainkan di aplikasi Tik Tok.
Suekhaizhar atau nama sebenar Surul-an Khairul Azhar mendapat kritikan dari pengguna media sosial setelah hantaran video nyanyiannya itu tular.
Katanya ketika ditemubual oleh Harian Metro,
Pada mulanya saya hanya suka-suka di Tik Tok. Malah, video itu adalah untuk versi Tik Tok. Saya pun tidak menjangka dan tak tahu macam mana boleh tular. Malah, pelbagai kritikan dilemparkan.
Tipu kalau saya cakap tak sedih, tapi saya terima dengan hati terbuka. Diakui ada betulnya cakap mereka yang saya kena banyak majukan diri dari segi vokal. Saya sedar untuk menjadi penyanyi yang baik dan disegani, vokal memainkan peranan penting.
Menurut Suekhaizhar, dia percaya pada dirinya untuk melangkah lebih jauh dalam bidang nyanyian dan berharap dapat setanding dengan penyanyi-penyanyi terkenal di tanah air ini.
Muzik video Aku Budak Girl kini telah mencecah lebih dua juta penonton sejak dimuatnaik dalam YouTube pada 28 Mei yang lalu dan kini berada di kedudukan nombor tiga carta trending.