Pasangan berkahwin mana yang mengharapkan perpisahan, tapi apakan daya nasib sepertinya tidak menyebelahi pasangan Nadia Brian dan Muizz Nasruddin apabila masjid yang dibina selepas setahun musnah akhirnya.
Sedang menunggu tarikh mahkamah bagi perbicaraan lafaz cerai yang difailkan suami, Nadia mengakui bahawa insiden ini membuatkan dirinya lebih kuat dan matang. Walaupun pada awal perkahwinan, dia berharap agar ianya kekal sehingga ke akhir hayat namun dia terima takdir yang berlaku.
“Ada dugaan atau tak, kena bersedia. Macam saya, saya lega apabila episod sedih saya akan berakhir. Saya tidak mahu ingat lagi perkara sedih yang berlaku. Saya nak tutup buku lama dan buka buku baharu. Saya nak aura baharu yang lebih positif.”
Meskipun langsung tidak membenci makna perkahwinan namun baginya mencari pasangan bukanlah keutamaannya kini.
“Soal cari pengganti, bukan keutamaan saya ketika ini. Belum masanya lagi. Tapi, tidak bermakna pula saya serik dengan perkahwinan. Saya pun nak berasa bahagia dan ada zuriat juga.”
Bahkan pelakon wanita itu mengatakan bahawa dia banyak belajar mengenai perkahwinan walaupun hanya setahun mendirikan rumah tangga. Malah dia turut mendoakan agar semua orang dapat merasakan kebahagiaan.
Dalam pada terpalit dengan dugaan yang berat ini, Nadia berkongsi bahawa ibu dan neneknya merupakan sumber kekuatan buatnya.
“Dari awal pembabitan dalam bidang seni, niat saya memang nak cari rezeki halal untuk bantu keluarga. Niat ini tak pernah hilang. Doa mak dan nenek sentiasa ada bersama saya. Segala perkerjaan yang dibuat sekarang adalah berkat doa mereka.”
Baginya rezeki tak pernah salah alamat dan semua yang diperolehinya adalah berkat doa ibu dan neneknya.
“Rezeki tak pernah salah alamat. Allah Maha Pemurah. Walaupun saya begini, saya tetap ingat Allah. Malah, dalam keadaan sedih sekali pun kena ingat Allah.”
Berterima kasih atas sokongan ramai, Nadia berharap agar 2021 memberikan sinar yang baru dalam hidupnya. Bahkan dia memilih untuk bersabar dan sentiasa berfikiran positif kerana itu merupakan senjata yang mujarab buatnya kini.
Semoga Nadia Brian menemui sinar hidup yang baru.