Tahun 2020 yang selama ini kita nantikan sudah pun tiba, semestinya kita harus ada perubahan bukan sahaja dari segi pembangunan negara, politik dan sebagainya tetapi kita juga perlu ubah sikap dan mentaliti kita.
Walaupun rakyat Malaysia semakin ramai yang berpendidikan tinggi dan moden, namun hakikatnya mentaliti kita masih lagi berada di tahap rendah. Mungkin kata-kata ini agak ‘pedas’, tetapi ini hakikat pahit yang harus kita telan.
Ini terbukti apabila pekerja Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), mengutip sebanyk sembilan tan sampah sarap yang dibuang orang ramai di lokasi menyambut ambang tahun baru.
Buang sampah ikut suka
Menurut, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan, sampah dikutip di kawasan KLCC sebanyak empat tan, Bukit Bintang (2.5 tan) dan Dataran Merdeka (2.5 tan).
Seramai 100 orang termasuk pekerja am, pemandu dan penyelia Alam Flora membabitkan 10 unit jentera kompaktor dan pembersihan bertugas membersihkan sampah sarap itu hampir 8 jam lamanya.
Mungkin ada yang berpendapat, buang sampah merata-rata adalah satu isu yang ‘kecil’ tetapi sebenarnya ia adalah isu yang besar.
Rakyat Malaysia seharusnya sedar, bahawa membuang sampah merata-rata hanya akan memburukkan negara kita. Ubahlah mentaliti, supaya menjadi kelas pertama dan bukannya kelas ketiga. Kalau mahu negara maju, kita kena majukan dulu sikap kita. Tidak perlu berbicara soal kereta terbang kalau kita masih berada di takuk yang sama.