Pelakon Fattah Amin dijangka memfailkan semula permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital terhadap bekas isterinya susulan isu hak lawatan anak mereka, Nur Fatima Aisya.
Perkara itu disahkan peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader yang menjelaskan permohonan terdahulu ditolak oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 31 Mac lalu kerana beberapa perkara perlu diperincikan sebelum difailkan semula secara ex parte.
Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Bekas Isteri, Mahkamah Tolak Permohonan Fattah Amin
Menurutnya, Fattah mendakwa aktres itu telah melanggar perintah mahkamah sebanyak enam kali, termasuk gagal memberikan hak lawatan dengan alasan berada di London.
“Saya dimaklumkan dia telah melanggar perintah mahkamah sebanyak enam kali, antaranya tidak menunaikan janji untuk memberikan hak lawatan Nur Fatima kepada bapanya dengan alasan berada di London.”
“Malah Fattah mendakwa sejak bercerai dia mengalami kesulitan untuk bertemu puteri tunggalnya namun masih bersabar dengan sikap bekas isterinya itu yang kerap memberi alasan hingga anak guamnya sukar bertemu dengan anak kandungnya.”
“Selepas banyak kali bagi muka, Fattah terpaksa melantik saya untuk memfailkan permohonan ini supaya perjanjian yang telah dipersetujui di mahkamah sebelum ini dipatuhi dan dihormati,” katanya.
Akberdin turut menegaskan penolakan mahkamah sebelum ini bukan keputusan muktamad, sebaliknya hanya memerlukan penjelasan lanjut.
“Penolakan yang dibuat mahkamah pada 31 Mac lalu bukan muktamad tetapi masa prosiding dijalankan hakim beritahu ada beberapa perkara yang tidak jelas dan minta diperincikan serta difailkan semula,” jelasnya.
Menurutnya, walaupun hak penjagaan penuh diberikan kepada pelakon itu, Fattah masih mempunyai hak lawatan termasuk bermalam dua kali sebulan serta pertemuan tiga kali seminggu.
Namun, hak tersebut didakwa sering terhalang sehingga pelakon itu terpaksa mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut haknya sebagai bapa.
“Pihak kami akan fail semula dalam masa terdekat kerana Fattah sudah cukup bertolak-ansur selama ini. Kali ini dia mahu mahkamah menentukan apa yang terbaik untuk menuntut haknya sebagai bapa kepada Nur Fatima.”
“Hak lawatan yang sepatutnya diberikan kepada Fattah perlu dipatuhi oleh bekas isterinya. Jika tidak, pihak kami boleh memfailkannya di mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, permohonan Fattah untuk memulakan prosiding komital ditolak Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, seperti disahkan peguam aktres filem Gol & Gincu itu, Fakhrul Azman Abu Hassan.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 sebelum sah bercerai talak satu pada 7 Oktober 2024 dan dikurniakan seorang anak perempuan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
