Melalui laporan Berita Harian, peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang kini sudah pencen dan mencecah usia 60 tahun masih belum menyelesaikan bayaran balik pinjaman yang diberikan.
Pengerusi PTPTN bersuara
Perkara ini telah didedahkan sendiri oleh Pengerusi PTPTN iaitu Datuk Seri Norliza Abdul Rahim sewaktu mengulas perihal tahap kesedaran peminjam dalam bertanggungjawab membayar balik pinjaman yang diberikan.
Tidak wajar pada usia sedemikian, masih ada yang belum menjelaskan bayaran hutang pinjaman.
Kata Norliza, kesedaran untuk peminjam bayar balik pinjaman amat penting memandangkan PTPTN memerlukan RM3 bilion bagi membiayai kos pendidikan tinggi seramai 450,000 peminjam sedia ada dan secara purata 150,009 peminjam baharu untuk setiap tahun.
Menurutnya lagi, antara cabaran yang dihadapi oleh pihaknya apabila mahu memperoleh semula dana yang dikeluarkan untuk peminjam pendidikan.
Peminjam perlu lebih bertanggungjawab, tindakan drastik akan diambil
Beliau turut mendakwa lebih 430,000 peminjam tidak pernah membuat sebarang bayaran balik pinjaman walaupun hanya sekali, yang membabitkan hutang tertunggak sebanyak RM5.46 bilion.
Jika dalam tempoh dua atau mungkin lima tahun anda tidak bekerja yang menyebabkan anda tidak dapat membuat bayaran balik, itu masih boleh diterima, namun kalau sudah melebihi 10 tahun?
Sebagai sebuah masyarakat, kita perlu menghargai sistem yang telah membantu jutaan rakyat mencapai impian pendidikan tinggi mereka dan berusaha memastikan kelangsungannya.
Dalam pada itu, Norliza berkata pihaknya akan mengambil tindakan drastik jika peminjam masih tidak membayar pinjaman lebih dari 10 tahun ke atas atau yang langsung tidak pernah membayar.