Penyanyi kelahiran Malaysia yang mencipta nama di pasaran Antarabangsa, Yuna difahamkan akan terus berada di tanah air berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan sejak Mac lalu.
Menurut Yuna, dia masih belum merancang untuk kembali ke Los Angeles namun akan kembali ke negara Uncle Sam itu sebaik sahaja situasi COVID-19 di negara itu kembali reda.
Tambah penyanyi lagu Terukir Di Bintang itu lagi, dia sebenarnya sudah berada di Malaysia sejak Mac lalu kerana urusan kerja bersama suami namun tidak menyangka kerajaan akan melaksanakan PKP pada bulan itu.
“Sebenarnya saya sudah berada di sini sejak Mac lalu. Kebetulan pulang ke tanah air untuk urusan kerja bersama suami tapi tak sangka PKP tiba-tiba dilaksanakan. Namun saya okey saja kerana sekurang-kurangnya dapat luangkan masa bersama keluarga. Saya mungkin akan kembali ke AS selepas keadaan semakin pulih. Tunggulah bila masa betul-betul sesuai. Mungkin tahun depan saya akan kembali ke LA semula.”
Meskipun kerjaya seninya agak sedikit terbantut kerana masih berada di tanah air, namun dia tetap bersyukur kerana masih dapat menyiapkan beberapa buah lagu.
Mengakui berasa sedikit terkesan dengan penularan pandemik ini, Yuna berkata dia tidak mempunyai masalah kerana banyak berbincang secara maya bersama produser lagu di Amerika Syarikat. Dia turut merasakan keadaan di Malaysia lebih baik dan stabil berbanding keadaan di sana, ujarnya mengakhiri perbualan.
Sumber : Harian Metro