January 15th, 2016

Masih lagi mempunyai perasaan sayang dan ingin menyelamatkan rumah tangga yang dibina, Abd. Backery Ghouse iaitu suami kepada Zahnita Wilson enggan melafazkan cerai kepada Zahnita dalam prosiding  kes penceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam semalam.

Backery yang memaklumkan perkara berkenaan dihadapan Hakim Syarie, Muhammad Hisyam Zakaria turut memaklumkan beliau sudah mendapatkan khidmat kaunseling perkahwinan daripada pihak jabatan agama Islam yang terdekat dan pihak swasta demi mengekalkan rumah tangganya.

Malah, tindakan Zahnita yang memohon cerai secara tiba-tiba juga adalah salah satu alasan mengapa beliau tidak mahu berpisah.

Sementara itu, Abd. Backery memberitahu pemberita, sebelum ini hubungannya dengan Zahnita baik. Namun, Zahnita membuat keputusan untuk keluar daripada rumah mereka pada 13 Disember lalu.

Terdahulu,  Zahnita telah memfailkan penceraian  kerana  mereka tidak lagi mempunyai persefahaman antara satu sama lain dan sudah tidak tinggal sebumbung sejak 13 November 2015.

Zahnita memfailkan permohonan perceraian itu pada 31 Disember tahun lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Zahnita diwakili peguam syarie, Suriany Awaludin manakala Backery diwakili peguam syarie, Yusfa Haris Yussoff.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Februari ini untuk sebutan semula kes berkenaan bagi lantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) .

Sumber Berita: Utusan Online


Comments are closed.

Loading...