Pelakon, Abby Abadi tampil menjelaskan punca suaminya iaitu Muhammad Faizal bertindak menampar Aslam adalah disebabkan lelaki itu menjalinkan hubungan cinta dengan anaknya yang pada ketika itu masih di bawah umur.
Abby atau nama lengkapnya Arbaiyah Abdul Manan berkata, ketika itu Marissa Dania masih bersekolah rendah dan mengakui silapnya kerana tidak bertegas menyebabkan hubungan mereka berlarutan.
Kenapa bapa tiri yang lempang Aslam? Sebab masa berlakunya kejadian itu, Marissa bawah umur dan di bawah jagaan saya dan suami (bapa tiri Marissa).
Ini bukan hal baru, ia berlaku masa Marissa sekolah rendah ya. Silap saya dan suami kerana tidak bertegas dan beri peringatan awal.
Dalam pada itu, Abby memberitahu bekas suaminya iaitu Norman Hakim tidak mengetahui akan hal tersebut kerana tidak sempat memaklumkan kepadanya.
Ujarnya lagi, sekiranya dia membuat laporan polis pada ketika itu sudah tentu Aslam akan dikenakan tindakan undang-undang.
Bapanya (Norman) tak tahu pasal ini sebab saya tak sempat nak bercerita rasanya. Dua-dua memang salah.
Tapi kalau saya buat laporan polis waktu itu, Aslam yang akan ke dalam kan? Kalau report waktu itulah tapi saya tak sampai hati.
Sekarang bercerita sebab pihak tu (Aslam) nak berlawan sangat kan? Kata dah minta maafkan? Yang hal 10 tahun dulu pun tak pernah minta maaf, tiba-tiba muncul minta maaf terbuka.
Sebelum ini, Aslam tampil membuat permohonan maaf terbuka terhadap Abby menerusi hantaran di Threads.
Aslam berkata, dia pernah membuat permohonan maaf secara peribadi kepada Abby namun dia memahami ibu mertuanya itu mahu dia melakukannya secara terbuka.