Salah seorang anggota kumpulan Elite, Watie Sadali, terpaksa membuat persembahan di konsert Elite yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam tanpa kehadiran suami tercinta.
Berbeza dengan rakan-rakannya yang lain iaitu Sasha Saidin, Linda Rafar, Abby Abadi dan Azza Zawari yang ditemani suami serta keluarga masing-masing, Watie hadir sendirian kerana suaminya, Joey Daud, perlu bertugas sebagai pengacara di program Kilauan Emas pada waktu yang sama.
“Untungla suami datang. Suami saya tak ada malam ni. Dia tak datang,” kata Watie ketika rakan-rakannya menyapa suami masing-masing.
Walau bagaimanapun, Watie tidak keseorangan kerana turut ditemani anak serta kakak-kakaknya. Malah, anak tirinya iaitu anak kandung Joey hasil perkahwinan terdahulu juga hadir memberikan sokongan.
Sementara itu, Joey ketika ditemui media di Kilauan Emas kelihatan sebak kerana tidak dapat menyaksikan konsert isterinya.
Sudah tentu saya sedih tak dapat pergi konsert Elite. Selalunya perkara kecil pun saya akan sentiasa ada bersama dengan isteri. Dia ialah tunjang saya. Saya tahu dia sedih saya tak dapat bersamanya.
Biarpun tanpa kehadiran suami, Watie tetap mencuri perhatian dengan telatahnya yang bersahaja. Ramai penonton tidak kering gusi menyaksikan gelagat Elite di atas pentas.
Konsert berdurasi dua jam itu menyaksikan Elite menghiburkan ribuan peminat dengan rangkaian lagu popular mereka antaranya G.I.G, Tamparan Wanita, Trauma dan Manisnya Senyumanmu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.