Ajal maut di tangan tuhan, itulah takdir yang perlu diterima oleh setiap manusia yang hidup di muka bumi ini.
Berikutlah kisah seorang wanita apabila dia kehilangan dua orang tersayang dalam tempoh yang singkat akibat jangkitan Covid-19.
Menurut laporan mStar, Maidzatul Nadia Mahadzir, 36, suaminya meninggal akibat penyakit itu pada 13 Julai 2021 dan ibunya lima hari berikutnya atas sebab yang sama.
Nadia mengakui sukar baginya untuk menerima perkara yang berlaku namun harus meneruskan hidup untuk membesarkan lima orang anak berusia tiga hingga 11 tahun.
Difahamkan, Nadia menetap dalam satu rumah bersama ibu dan ayahnya dan tanpa diduga mereka sekeluarga dijangkiti Covid-19 tahun lepas.
Nadia juga menerangkan suaminya enggan meninggalkan dia dan lima anak di rumah dan hanya bertahan di dalam rumah walaupun paras oksigen semakin menurun.
Malangnya, suami Nadia pergi ke hospital pada saat akhir dan ditidurkan selama tiga hari sebelum meninggal dunia. Jenazah suami, Zaili Zulkanin @ Mohd Isa dan ibunya, Paudziah Abd Hamid disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Batu Caves, Selangor.
Walaupun berat untuk diterima, Nadia akui harus menerima perkara tersebut demi anak-anak yang sedang membesar.