Ucapan yang disampaikan oleh penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Ahmad Dhani ketika majlis resepsi anak sulungnya, Al Ghazali, baru-baru ini menarik perhatian ramai apabila menyentuh soal bekas isteri, Maia Estianty.
Dalam sebuah video tular di media sosial, Ahmad Dhani meluahkan rasa syukur apabila Maia kini bahagia bersama suaminya, Irwan Mussry, yang disifatkan lebih baik daripada dirinya.
Saya pun bahagia hari ini bukan sahaja kerana Al. Tapi kerana ibu Al yang juga bahagia kerana mendapat seorang suami yang jauh lebih baik daripada saya.
Dhani yang juga anggota kumpulan Dewa 19 turut menyatakan bahawa dia bersyukur atas kehidupannya kini bersama isteri, Mulan Jameela, serta anak-anak hasil perkahwinan kedua.
Saya juga bahagia hari ini kerana saya mempunyai isteri dan anak-anak yang baru selepas Al, El dan Dul. Sampai ke hari ini mengapa semuanya tentang saya? Tapi tak mengapa.
Ucapan spontan Ahmad Dhani mengejutkan menantunya, Alyssa Daguise, dan mencuit hati tetamu. Dalam masa sama, beliau sempat menasihati pasangan pengantin agar menjadikan agama sebagai panduan rumah tangga.
Buat Al dan Alyssa, belajarlah banyak tentang agama kerana semua persoalan boleh diselesaikan dengan agama.
Awak berdua beragama Islam, maka jadikanlah hukum Islam dan fiqah Islam sebagai rujukan. Ketika kalian mempunyai masalah yang berat, kembalilah kepada Al-Quran dan hadis.
Untuk rekod, Ahmad Dhani dan Maia Estianty pernah berkahwin pada tahun 1996 sebelum bercerai pada 2008, dipercayai akibat kehadiran orang ketiga. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki Al Ghazali, El Rumi, dan Dul Jaelani.
Ahmad Dhani kemudiannya bernikah dengan Mulan Jameela pada 2009 manakala Maia mendirikan rumah tangga bersama Irwan Mussry pada 2018 di Tokyo, Jepun.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.