Seorang lelaki berusia 51 tahun didapati bersalah membunuh isterinya di kediaman mereka, sebuah apartmen terletak di Setapak, Kuala Lumpur pada tahun 2021 yang lalu.
Menurut laporan, lelaki berkenaan mempunyai ketagihan berjudi dan mempunyai hutang yang banyak dan membuat keputusan untuk membunuh isterinya bagi mendapatkan duit daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mangsa.
Menurut fakta kes, tertuduh didakwa membunuh isterinya berusia 46 tahun di antara jam 2.30 pagi hingga 9.30 pagi pada 9 Mei 2021.
Kejadian itu berlaku di dalam bilik apartmen mereka dan lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Berdasarkan laporan bedah siasat, mangsa disahkan maut akibat lemas, disebabkan mulut dan hidungnya ditutup.
Salah seorang anak mereka, yang merupakan saksi pendakwaan ke-14 berkata malam sebelum insiden itu berlaku ibunya memaklumkan tiga anaknya bahawa dia merancang untuk bercerai dengan bapa mereka.
Malangnya, keesokan pagi anak-anaknya menjumpai ibunya sudah meninggal dunia di dalam bilik tidur.
Pada 26 Mac, Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa tertuduh didapati bersalah membunuh isterinya. Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, termasuklah kenyataan adik dan anak bongsu mangsa tentang kesan daripada pembunuhan itu, hakim menjatuhkan hukuman 30 tahun penjara bermula dari tarikh penahanan, 11 Mei 2021.
Menurut Hakim, pembelaan tertuduh tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah. Tertuduh mengaku tidur sekatil dengan isterinya pada malam kejadian namun mendakwa tidak tahu bagaimana isterinya tercedera meskipun berada bersamanya sepanjang masa.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.