Suami Hilang Feel Bila “Bersama” Setelah Saluran Peranakan Diikat? Ini Penjelasan Pakar

Trending

Suami Hilang Feel Bila “Bersama” Setelah Saluran Peranakan Diikat? Ini Penjelasan Pakar

Seorang ibu muda pernah berbisik kepada saya menanyakan soalan berkaitan BTL (Bilateral Tubal Ligation) atau IKAT PERANAKAN/RAHIM.

Advertisement

“Adik, awak misi kan. Akak nak tanya. Betul ke kalau ikat, muda-muda lagi ni nanti hat bawah tu kering. Nak bersama takde feel. Nanti suami tinggal.”

Terkedu juga saya dengan soalannya.

Rata-rata mereka yang pernah melakukan prosedur itu TIDAK pernah pula komplen perkara yang sama. Malahan hubungan suami isteri ada yang bertambah erat kerana tidak perlu lagi gusar tereksiden sampai mengandung. Nak² diusia yang dikategorikan bahaya jika hamil.

BTL ini hanya satu prosedur mengikat salur peranakan agar tidak berlaku persenyawaan antara sperma dengan ovum yang boleh menyebabkan persenyawaan dan kehamilan.

BTL merupakan kaedah memotong, mengikat atau memutuskan tiub fallopian dari bersambung dengan rahim (lihat gambar lokasi tiub fallopian).

Ia dilakukan samada bersama dengan prosedur Caaesarean atau secara laparoscopic (insisi kecil dengan prosedur teropong dan dipantau melalui skrin TV) dan prosedur dilakukan menggunakan alatan khas.

Sebab untuk BTL ini;

1) Tidak mahukan zuriat atau sudah cukup bilangan ahli keluarga. Contohnya pasangan yang merasakan telah lengkap keluarganya terutama ibu berusia 35 tahun ke atas dan mempunyai sekurang-kurangnya 2 anak.

2) Tidak boleh hamil lagi atas sebab perubatan. Antara sebab-sebab perubatan itu seperti;

i- Telah mengalami 2 pembedahan caesarean sebelumnya. Di mana pihak doktor pakar yang melakukan pembedahan mengalami kesukaran untuk melakukan pembedahan yang berikutnya. Parut yang sukar dibuat insisi, tumpah darah yang banyak atau jenis insisi pembedahan yang panjang.

ii- Bilangan anak yang melebihi 5 orang (Grandmultipara) dengan sejarah perubatan semasa hamil yang serius seperti darah tinggi (pregnancy induced hypertension (PIH)), sakit jantung dan lain-lain.

iii- Ibu yang sentiasa mendapat komplikasi selepas bersalin seperti perdarahan yang teruk (postpartum hemorrhage), lekat uri (retained placenta) dan lain-lain.

Penentuan dan persetujuan untuk dilakukan BTL adalah seperti berikut:

** Penentuan untuk melakukan BTL ini hanya oleh Pakar Sakit Puan yang merawat.

** Alasan untuk melakukan BTL kerana letih dan penat menguruskan rumahtangga bukanlah alasan yang boleh diterima.

** BTL BOLEH dilakukan serentak dengan pembedahan melahirkan bayi.

** BTL memerlukan persetujuan kedua-dua pihak. Kerana isteri TIDAK boleh hamil lagi dengan 99% keberkesanan.

** Suami dan isteri perlu menandatangani borang persetujuan pemandulan sebelum prosedur dibuat. Boleh rujuk fatwa berkaitan pemandulan disini “Hukum merancang keluarga kerana berpendapatan rendah

Selain itu terdapat beberapa kaedah untuk merancang antaranya:

1) Teknik azal iaitu tarik keluar zakar dan memancutkan air mani diluar.

2) Menggunakan kondom.

3) Penggunaan pil perancang keluarga yang dibekalkan oleh klinik kesihatan atau dibeli di farmasi berdaftar. Perlu patuh kepada kaedah pengambilan ubatan.

4) Suntikan Hormon perancang yang perlu diambil setiap 2 atau 3 bulan.

• Ia mengandungi hormon progesterone.
• Fungsi tambah kepekatan lendir serviks dan dapat cegah kehamilan.

5) Alat Perancang dalam rahim, IUD (Intra Uterine Device).

• Sejenis alat yang berbentuk T.
• Dimasukkan di bahagian rahim.
• Mempunyai tempoh masa tertentu 3 tahun atau 5 tahun.

6) Implan.

• Ia akan ditanam dibawah kulit untuk tempoh masa 3 tahun atau 5 tahun.

Antara kesan jika tiada pelan merancang keluarga dengan sempurna;

1. Gangguan psikologi pada ibu, bila ibu itu tidak BERSEDIA untuk hamil dalam tempoh terdekat.

2. Ibu berisiko untuk mendapat anemia apabila menjalani proses bersalin yang kerap dan menyebabkan kehilangan darah.

3. Peranakan Terkeluar atau rahim jatuh (Uterine Prolapse). Keadaan ini boleh mengganggu organ lain seperti pundi kencing, usus besar dan faraj. Biasanya, masalah rahim jatuh ini dikaitkan dengan bilangan kelahiran. Semakin kerap melahirkan bayi, semakin tinggi risiko ibu menghadapi keadaan ini. Rujuk SINI

4. Menjejaskan Tulang bilamana bayi dalam kandungan memerlukan kalsium yang banyak untuk proses tumbesaran. Bayi akan mengambil kalsium daripada ibu. Keperluan kalsium ibu hamil sangat tinggi berbanding biasa.

Begitu juga selepas melahirkan, ibu memerlukan kalsium yang tinggi untuk disalurkan kepada bayi melalui susu ibu. Justeru, jika ibu kurang mengambil kalsium, dia berisiko untuk mendapat masalah tulang. Bayangkan kalau ibu itu mengandung rapat?

5. Hormon Tak Seimbang disebabkan jarak kehamilan yang rapat. Ketidakseimbangan kandungan hormon terutama estrogen di dalam badan secara tidak langsung akan mengganggu penyerapan kalsium ke dalam tulang. Estrogen penting untuk penyerapan kalsium. Gangguan pada hormon akan mengganggu struktur tulang.

6. Masalah Rahim Pecah. Ini terjadi pada ibu yang bersalin secara pembedahan caesarean dan mengandung lagi dalam tempoh terdekat, ibu berisiko tinggi untuk menghadapi masalah uterine rupture atau rahim pecah. Kebarangkaliannya memang kecil tetapi jika berlaku ia boleh memberi kesan buruk kepada ibu dan bayi, malah boleh meragut nyawa keduanya.

Oleh itu:

• BTL menyebabkan miss V kering merupakan #mitos.

• BTL mengurangkan kelincahan diranjang anda sebagai isteri juga merupakan #mitos

• Jika hubungan intim anda terganggu, jumpa doktor bagi mendapatkan penyelesaian.

• Perubahan emosi selepas pemandulan merupakan reaksi hormon yang selepas prosedur. Sila rujuk doktor bagi penerangan lanjut.

• Keputusan bagi pemandulan merupakan keputusan kedua-dua pihak. Maka kedua-dua perlu bertanggungjawab.

Notakaki: Jangan mudah terpengaruh dengan kata-kata orang. Kewanitaan kita bukan bergantung kepada rahim yang sihat atau fungsi kewanitaan yang hebat.

#BelNawhen
#SayaJururawat

Kredit : Bel Nawhen

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...