Polis menahan reman suami kepada wanita yang ditemukan maut bersama anak perempuannya di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, Pulau Pinang, malam tadi bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, mengesahkan bahawa lelaki berkenaan telah dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman selama tujuh hari.

Suspek telah direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Sementara itu, mayat dua beranak berkenaan telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Terdahulu, media melaporkan kejadian tragis itu membabitkan seorang wanita berusia 51 tahun dan anak perempuannya berusia 11 tahun yang ditemukan mati dalam keadaan kejam di rumah mereka sekitar jam 7.30 malam, semalam.
Difahamkan, mayat si ibu ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah, manakala anaknya dijumpai di tingkat atas rumah.
Menurut Datuk Azizee, kedua-dua mangsa ditemui oleh suami wanita berkenaan selepas pulang ke rumah dan mendapati pintu rumah terbuka sebelum menemui mayat mereka.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kejadian itu mengejutkan penduduk setempat dan mencetuskan rasa pilu selepas audio rakaman suara suami mangsa yang menangis teresak-esak memaklumkan tentang kematian isteri dan anaknya turut tular di media sosial. – Harian Metro
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.