Pemergian seorang anak bukanlah sesuatu yang mudah diterima, apatah lagi selepas hampir setahun bertarung dengan penyakit berat.
Dalam suasana pilu itu, suami kepada pelakon Amyza Aznan, Khairil Idzhar Md Nazir memilih untuk reda dengan ketentuan Ilahi atas pemergian anak sulung mereka, Andre Mikhail.

Andre menghembuskan nafas terakhir selepas hampir setahun berjuang melawan kanser paru-paru tahap tiga. Sepanjang tempoh itu, Khairil tidak pernah berenggang daripada sisi anaknya.
Menurut Khairil, keadaan Andre semakin kritikal sejak Ahad dan keluarga telah dimaklumkan lebih awal supaya bersedia.
“Semalam lagi kami dah diberitahu keadaan anak agak kritikal. Kami memang sentiasa tunggu saja sehingga habis,” katanya.
Beliau turut mendedahkan keadaan Andre sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Dia seorang anak yang sangat baik. Kami tak dapat bercakap banyak dengan dia. Dia seperti ditidurkan walaupun sedar dan tak dapat bercakap sehinggalah nafas terakhir dia,” dedahnya.
Walaupun diselubungi kesedihan, Khairil bersyukur segala urusan dipermudahkan dan anaknya pergi dalam keadaan tenang.
“Alhamdulillah, semua dipermudahkan. Perginya anak yang soleh ini terlalu mudah bagi saya kerana dia pergi, saya ada di sebelah,” ujarnya.
Sepanjang setahun Andre melawan penyakit, Khairil setia menemani walaupun dirinya sendiri kurang sihat.
“Setahun dia melawan sakit kanser dan saya bersama menemani dia walaupun keadaan saya pun tidak berapa sihat.”
“Alhamdulillah, saya berpuas hati dapat membantu dia menangani sakitnya,” katanya lagi.
Menurutnya, pemergian Andre pada bulan Ramadan menjadi antara kekuatan untuk beliau menerima takdir dengan hati yang lebih reda.
Andre juga tidak meninggalkan pesan panjang, sebaliknya hanya bertanya mengenai keadaan dirinya yang semakin lemah.
“Saya cakap itulah prosesnya dan dia faham,” kongsinya.
Terdahulu, berita pemergian Andre dimaklumkan sendiri oleh Amyza menerusi kemas kini di Instagram Stories pada Isnin.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
