Berumah tangga itu tidak semestinya indah, itulah yang boleh dikatakan nasib yang perlu dilalui oleh seorang wanita yang bernama Noor Mohammad apabila dia seperti digantung tidak bertali oleh suami akibat kes polis.
Memetik laporan mStar, wanita berusia 34 tahun itu terpaksa menjadi ketua keluarga bagi kelangsungan hidup bersama tiga orang anak yang masih kecil.
Kesusahan wanita itu dikongsikan oleh Natipah Abu yang merupakan aktivis kemasyarakatan,,dan menurut Natipah, Noor sendiri yang menghubungi pihaknya menceritakan tentang kesempitan hidup yang dialami.
Difahamkan, suami yang dinikahi lima tahun lalu mula berubah setelah ditimpa kemalangan ketika Noor sedang hamil anak bongsu lebih setahun yang lalu.
Kemalangan itu menyebabkan suami Noor mengalami tekanan perasaan dan mempunyai masalah mental tetapi tidak mahu meneruskan rawatan walaupun telah dirujuk pihak hospital.
Selain itu, suaminya yang dulu penyayang juga secara tiba-tiba menjadi kaki pukul dan menyasarkan Noor sebagai tempat melepaskan tekanan.
Akibat perbuatan suaminya itu, Noor lantas membuat aduan kepada pihak polis dan suaminya dipanggil untuk memberi keterangan.
Susulan kejadian itu, Noor mengambil keputusan drastik untuk kembali ke Thailand dan menetap dengan ibunya yang berasal dari negara tersebut.
Demi meneruskan kehiupan, Noor melakukan pelbagai pekerjaan seperti menjual kuih muih di tepi jalan selain menjual pakaian secara atas talian.
Kisah hidup Noor itu dikongsikan oleh Natipah di Facebook kepunyaannya bagi mengumpul sumbangan bagi meringankan beban wanita kepada tiga anak itu.