Penggambaran video ‘prank’ dilakukan seorang Youtuber bertukar menjadi insiden berdarah selepas lelaki itu ditembak penghantar makanan.
Kejadian tersebut berlaku pada 2 April lalu di sebuah pusat beli belah di Sterling, Virginia di mana Youtuber dan pelawak Tanner Cook, 21, itu ditembak oleh Alan Colie di bahagian bawah dadanya.
Menerusi video yang tular, Tanner dilihat menghampiri Alan ketika dia mengambil pesanan makanan di mana dia didengari berkata ‘stop’ sebanyak tiga kali.
Alan juga cuba menghalang telefon yang merakam dari mukanya sebelum kemudian mengeluarkan pistol dan terus menembak Tanner.
Disebabkan itu, penghantar makanan berusia 31 tahun tersebut dihadapkan di mahkamah atas tuduhan mencederakan dengan niat jahat.
Juri bagaimanapun membuat keputusan untuk membebaskan Alan selepas dia mengaku tidak bersalah dan berkata tindakan itu adalah untuk mempertahankan diri.
Alan yang bekerja untuk syarikat penghantar makanan DoorDash memberitahu mahkamah dia membawa pistol untuk tujuan keselamatan selepas membaca laporan bahawa ada food rider dirompak di kawasan tersebut.
Sementara itu, Tanner berkata dia tetap akan meneruskan jenis kandungan yang sama iaitu membuat ‘prank’ terhadap orang lain meskipun selepas kejadian tersebut.