Bukan perkara baru lagi, tetapi sudah acap kali industri drama dan perfileman tanah air ditegur penonton bahkan pelakon sendiri dek kekurangannya. Paling terkesan apabila ramai yang bandingkan kualiti drama tempatan dengan produk hasil Hollywood dan juga Korea.
Malahan Nabila Huda turut menyentuh isu ini menerusi Instagram Story baru-baru ini. Pada awalnya, wanita ini memuat naik poster drama ‘Hollywood’ di mana ia menceritakan sekumpulan pelakon dan pembuat filem yang cuba merealisasikan impian mereka selepas Perang Dunia kedua.
Nabila menyatakan bahawa pasti seronok sekiranya screen test di Malaysia dilakukan sama seperti apa yang ditonjolkan di dalam drama tersebut. Turut memuji pembuatan kostum dan set penggambarannya, dia berharap agar bajet yang mencukupi disediakan bagi mengeluarkan produk setanding dengan ‘Hollywood’.
“Kalau asyik nak potong bajet pelakon, pekerja, scriptwriter, sampai abang Jamil mampus la kita asyik shoot kat Hulu Langat untuk scene kampung.”
Bahkan Nabila mencadangkan supaya industri ini mengguna pakai generasi muda dalam proses suntingan kerana mereka lebih arif dengan teknologi terbaru.
Bukan itu sahaja, pihak produksi juga tidak sepatutnya berkira dengan bajet untuk pakaian pelakon sepanjang drama berlangsung.
“Produser pun jangalan la kedekut sangat bagi budget RM5k untuk 13 artis untuk 26 episod.. Memang baju bundle la jawabnya!”
Tak dilupa mengenai pemilihan pelakon yang sering menjadi topik utama menentukan kegagalan dan kejayaan sebuah drama.
Bagi Nabila, pelakon sepatutnya dipilih daripada kemampuan mereka untuk melakonkan sesuatu watak dan bukannya ditentukan berdasarkan jumlah pengikut Instagram mereka.
Pelakon berbakat ini juga meminta produser berhenti mengambil pelakon kegemaran mereka atau pun pilihan stesen televisyen sahaja. Tak salah lakukan uji bakat terlebih dahulu bagi pelakon baru bagi memastikan mereka dapat membawa watak tersebut.
Penggunaan lokasi yang sama sebagai set penggambaran juga turut disebut oleh Abil, patutnya melakukan pencarian tempat yang sesuai terlebih dahulu dan bukannya main sebat tawaran yang murah sahaja.
Selain itu, Abil turut meminta agar kesemua kakitangan sesebuah produksi supaya diberi bayaran tambahan sekiranya dipaksa bekerja lebih daripada waktu kerja yang ditetapkan.
Nabila turut menegur pengurus kepada artis baru yang tidak mempelajari latar belakang drama dan terus sahaja ‘demand’ harga yang tak masuk akal sebagai bayaran.
“Bakat pun belum tentu ada, agak-agak la nak ketuk produser mintak duit sampai satu episod 4k.”
Nabila mengakhiri luahan tersebut dengan memuji banyak bakat hebat dalam industri drama tanah air, cuma keadaan dan persekitaran yang kekal sama membuatkan semua kakitangan berasa penat.
Semoga industri drama Malaysia bakal mengalami perubahan untuk kebaikan semua.