Penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan yang kini membintangi drama Gerak Khas Undercover di TV3 berkata, suaminya tidak menghalang dia untuk melakukan aksi ngeri sendiri dalam lakonannya tetapi perlu menjaga diri.
Elizabeth atau nama lengkapnya Elizabeth Tan Su Mei berkata dia suka filem dan drama aksi kerana begitu tertarik dengan seni bela diri campuran (MMA). Tambahnya lagi, dia sendiri amat menggemari aktiviti lasak.
Elizabeth yang lebih mesra disapa Lizzy beranggapan status sebagai wanita bukan halangan untuk cuba melakukan aksi lasak sendiri. Untuk itu, dia memang berasa puas hati apabila dapat melakonkan babak aksi sendiri walaupun sedar berdepan risiko kecederaan.
Melakonkan babak aksi adalah cabaran besar buat seseorang pelakon. Saya pernah mengalami lebam pada beberapa bahagian badan. Malah, kuku kakin juga ada yang tercabut.
Penyanyi lagu Semua Sudah itu berkata setiap perjalanan untuk menghidupkan watak dalam lakonan adalah satu pengalaman baharu buat dirinya. Apatah lagi, selepas melakonkan watak polis sebagai Inspektor Elly dalam drama Gerak Khas Undercover.
Elizabeth, 27, akui berdebar untuk beraksi dengan pelakon berkaliber dan berpengalaman, Datuk Rosyam Nor yang melakonkan watak Tony Bono dalam drama tersebut.
Saya cukup kagum dengan bakat lakonannya dan pengalaman anak seni dimiliki. Maklum saja, saya sendiri masih baharu dalam lakonan.
Menurut Elizabeth, Rosyam Nor banyak berkongsi ilmu dan tidak lokek mengajarnya melakonkan babak aksi. Setakat ini dia tidak terbabit dengan banyak babak aksi besar dan boleh dilakukan sendiri.
‘Follow’ Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.