Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) kini sedang mengenal pasti status agama dua beradik yang maut selepas kereta dinaiki terjunam ke dalam Sungai Linggi di Jeti Tanjung Agas di Port Dickson, kelmarin.
Menurut Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah, pihaknya menerima permohonan daripada polis berhubung status agama dua beradik itu kerana nama yang tertera di dokumen peribadi menunjukkan mereka berbangsa lain.
Katanya, suspek lelaki yang dipercayai bapa dua beradik itu menyatakan kedua-dua anaknya telah diislamkan di Kelantan namun tiada rekod ditemui.
Hasil semakan dengan jabatan agama di Kelantan, tiada rekod dua beradik itu. Di pihak kita juga, tiada rekod menyatakan dua beradik yang maut ini beragama Islam.
Tambahnya, buat masa ini status dua beradik itu bergantung kepada pengakuan suspek dan ibu kandung dua beradik itu dipercayai berbangsa lain.
Kita sedang tunggu pengesahan lanjut, sekiranya beragama Islam kita akan uruskan pengebumian.