Menurut satu statistik yang diterbitkan oleh Statista, pengguna Twitter di negara ini kini mencecah hampir 2.1 juta orang setakat bulan lalu. Ia tidak begitu ramai berbanding Facebook.
Di Lembah Klang sahaja, hampir kesemua orang yang ditanya pasti mempunyai akaun di Facebook, tetapi tidak Twitter.
Apabila ditanya kepada para pengguna Twitter yang segelintir tadi mengapa mereka lebih gemar menghabiskan masa di Twitter berbanding Facebook, kebanyakannya menjawab di Twitter mereka lebih selesa.
Selesa yang dimaksudkan tadi ialah banyak tabiat negatif yang tidak sepatutnya diceritakan di media sosial kurang di Twitter.
Ini disebabkan oleh huruf yang dibenarkan di sini terhad kepada 140 sahaja. Secara automatik, ‘sampah’ jauh lebih sedikit di sini berbanding di Facebook.
Sistem privasi Twitter lebih sukar ditembusi berbanding Facebook.
Lagipun di Facebook itu tidak boleh, ini tidak boleh. Apa lagi, ramai yang menutup akaun mereka selepas itu dan beralih angin ke Twitter.
Jawapan yang lebih terperinci tentang mengapa mereka lebih suka di sini berbanding Facebook ada di bawah, jom kita tengok mengapa Twitter lebih baik berbanding Facebook.
#1 Nama, kata kunci dan ID pengguna mudah ditukar
Di Twitter, anda boleh menukar nama akaun anda, kata kunci dan identiti pengguna anda dengan begitu mudah sekali. Anda tidak perlu mendapatkan kebenaran Twitter.
Sekiranya mana-mana maklumat anda ingin gunakan telah diguna pakai oleh orang lain, anda akan dapat melihatnya dengan cepat.
Tidak seperti di Facebook, kesemuanya perlu diluluskan oleh mereka sebelum kita dibenarkan menggunakannya.
#2 Pengunjung boleh akses walaupun tiada akaun.
Sekiranya anda merupakan satu jenama dan para pengunjung yang datang ke halaman Twitter anda tidak mempunyai akaun dengan Twitter, mereka masih boleh mengakses dan melihat apa yang anda kongsikan di halaman Twitter anda selagi anda tidak meletakkan status kepada privasi.
Sebaliknya di Facebook, sesiapa yang tidak berdaftar perlu mendaftar terlebih dahulu sebelum mereka dapat melihat status anda.
#3 Kuasa Hashtag yang betul-betul membantu dan Trending.
Facebook cuba mempromosikan penggunaan hashtag atau tanda palang di halaman mereka tetapi tidak mendapat sambutan. Malah ia kelihatan agak janggal.
Nampaknya tidak semua boleh ditiru daripada Twitter.
Twitter adalah platform pertama yang mempelopori penggunaan hashtag pada perkataan tertentu.
Sekiranya hashtag ini digunakan oleh ramai orang, maka ia akan tersenarai di Trending. Senarai Trending ini merujuk kepada perkataan-perkataan yang menjadi perbualan ramai pada satu-satu negara tersebut.
#4 Akses kepada berita-berita terkini dan selebriti dengan lebih pantas.
Di Twitter, kita akan dapat mengakses kepada berita-berita terkini dengan lebih pantas. Lihat sahaja di senarai Trending, kebanyakan berita-berita dan informasi terkini tentang sesuatu kejadian dapat diakses dengan mudah melalui portal-portal berita yang sahih.
Begitu juga untuk mengakses selebriti yang kita minat, terutamanya di luar negara. Mereka lebih gemar berada di Twitter berbanding Facebook kerana status yang dimuat naik boleh dibuat dengan pendek dan ringkas.
#5 Kurang ‘Sampah’ Dan Berita Palsu.
Luahan perasaan, rasa tidak puas hati, kecewa, kecam mengecam dan pelbagai status jenis ini sering terpampang di Facebook. Ada yang berjela-jela panjangnya dan ada juga yang mempunyai episod-episod tersendiri yang sambung menyambung.
Ini adalah ‘sampah’ yang dimaksudkan oleh para penggemar Twitter tadi. Mereka tidak tahan. Di Twitter semuanya terkawal oleh 140 huruf yang dihadkan. Ada juga ‘sampah’ sebegini tetapi tidak berjela-jela.
#6 Pendedahan Tanpa Bayaran Yang Lebih Baik.
Sekiranya anda tidak memuat naik status terbaharu selama seminggu dua sekalipun, status tadi masih lagi boleh dilihat di Newsfeed walaupun jumlah Like, Retweet dan perkongsian yang ada tidak begitu banyak.
Tidak seperti di Facebook, ia akan hilang dalam ‘sekelip mata’ sekiranya situasi yang sama berlaku pada status anda tadi. Penyebaran organik masih wujud di Twitter.
#7 Penggunaan GIF Semula Jadi.
Video pendek yang berulang-ulang atau GIF kelihatan lebih semula jadi di Twitter sekiranya ia dimuat naik berbanding GIF yang dimuat naik di Facebook. Ia perlu diklik untuk dimainkan. Biasanya tidak ramai yang ingin klik untuk melihat kerana tidak menarik.
Sumber: Azleen Abdul Rahim