Baru-baru ini, Menteri Komunikasi & Multimedia, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan bahawa kementeriannya sedang bekerja keras bagi menyiapkan portal permohonan secara atas talian bagi PerantiSiswa yang akan dibuka pada 15 April ini.
Kenyataan itu dibuat Annuar menerusi satu ciapan di Twitter rasmi miliknya di mana beliau turut menunjukkan contoh peranti yang akan diberi kepada mereka yang layak.
K-KOMM sedang berkerja keras menyiapkan portal permohonan on line bagi PerantiSiswa yg di jangka di buka 15hb ini.Urusan perolehan juga sedang di urus oleh K-KOMM dan MOF.(foto hiasan) pic.twitter.com/T51A6vWt3V
— Annuar Musa (@AnnuarMusa) April 3, 2022
Berikutan kenyataan itu, ramai netizen meninggalkan respon yang pelbagai di mana rata-ratanya membandingkan program terbaru itu dengan program komputer riba 1Malaysia yang pernah dianjurkan kerajaan suatu ketika dahulu.
Selain itu, netizen juga menzahirkan harapan agar tablet dan juga peranti yang akan diberikan nanti akan lebih berkualiti dan mempunyai spesifikasi yang terkini serta mampu menyokong kemas kini sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun.
Netizen juga dilihat memberi cadangan dan buah fikiran seperti para pelajar dan mahasiswa diberikan baucar untuk membeli sendiri peranti untuk kemudahan pembelajaran di samping berharap tiada lagi ‘episod’ alat elektronik meletup seperti yang dilaporkan media sebelum ini.