Kepenatan menjadi luahan utama pelakon Sophia Albarakbah ketika ditemui dalam satu sesi fotografi khas bersama HibGlam. Dalam pertemuan itu, air matanya sempat menitis apabila mengenang insiden sewaktu menerima trofi di Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025).
Peristiwa tersebut secara tidak langsung kembali mengaitkan namanya dengan kontroversi lama yang pernah menuduh dirinya sebagai orang ketiga dalam rumah tangga Bella Astillah dan bekas suami, Aliff Aziz.
Menurut Sophia, dia tidak pasti mahu menganggap insiden itu sebagai penyesalan atau tidak, namun tetap bersyukur dengan rezeki yang diterima. Baginya, apa yang berlaku menjadi pengajaran besar dalam hidup.
Saya cuma harap semuanya berakhir dengan izin Allah dan beban ini berkurang.
Pelakon berusia 32 tahun itu mengaku masih dihantui kesilapan lalu, seolah-olah tiada peluang untuk memperbaiki diri. Apa yang diinginkan kini hanyalah ketenangan dan ruang untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya.
Sophia turut mengakui kesilapan yang pernah berlaku ketika menerima tawaran drama bersama Aliff Aziz hanyalah sesuatu yang tidak disengajakan. Namun, dia reda dengan takdir walaupun terpaksa menanggung ujian emosi yang berat. Luahnya,
Kadang-kadang Allah izinkan perkara buruk berlaku supaya kita belajar jadi lebih baik.
Di sebalik kekuatan yang ditampilkan, Sophia sebenarnya berada di titik terendah apabila terus menjadi sasaran kecaman netizen, termasuk buli siber dan gangguan seksual. Malah, dia pernah membuat laporan polis demi keselamatan diri.
Tindakan itu, jelasnya, memberi keberanian kepada mangsa lain untuk bersuara. Katanya,
Buli siber boleh membawa kepada depresi, malah bunuh diri. Kes seperti ini wajar diambil serius.
Dalam pada itu, Sophia bakal kembali dengan sebuah filem sains fiksyen “Abu Si Raksasa”.