Bekas Panglima Tentera Darat, Muhammad Hafizuddeain Jantan, bersama dua isterinya antara lima individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat Malaysia (TDM).
Turut ditahan ialah sepasang suami isteri yang disyaki bersubahat melarikan wang berjumlah RM2.4 juta.

Memetik laporan Buletin TV3, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan kesemua lima tangkapan tersebut selepas kenderaan membawa Tan Sri Muhammad Hafizuddeain dan isterinya memasuki perkarangan ibu pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira jam 3 petang tadi.
“Sehingga 7 petang kita telah menahan Panglima Tentera Darat (bekas), yang kedua dua wanita yang merupakan isterinya dan yang ketiga semalam kita ada menahan seorang lelaki Melayu bersama isterinya disyaki bersubahat melarikan RM 2.4 juta,” katanya.
Menurut Azam, SPRM akan memohon perintah reman terhadap bekas Panglima Tentera Darat itu bersama dua isterinya pada hari ini.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan Tan Sri Muhammad Hafizuddeain sepatutnya memberi keterangan pada 28 Disember lalu, namun gagal berbuat demikian selepas dimasukkan ke hospital.

SPRM turut dilaporkan hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember lalu bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek melibatkan Tentera Darat sejak tahun 2023.
Pada 29 Disember pula, Azam memaklumkan bahawa SPRM telah menyita enam akaun bank milik pegawai terbabit serta ahli keluarganya bagi membantu siasatan lanjut.
Dua hari sebelum itu, Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, mengesahkan Tan Sri Muhammad Hafizuddeain diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan terhadap beliau selesai.
Kes ini terus mendapat perhatian ramai berikutan melibatkan projek perolehan pertahanan negara serta pegawai tertinggi tentera, dengan orang ramai menantikan perkembangan lanjut siasatan pihak berkuasa.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
