Sofa, Mesin Basuh Dan Tilam Antara Barangan Yang Tersangkut Di Sg Klang

Trending

Sofa, Mesin Basuh Dan Tilam Antara Barangan Yang Tersangkut Di Sg Klang

Perangkap sisa di Sungai Batu, salah satu anak sungai Sungai Klang mengumpul lebih satu tan sampah setiap bulan dan keadaan bertambah buruk pada musim hujan.

Advertisement

Antara sisa yang ditemui termasuk kayak, topi keledar, bola, dahan pokok dan tin timah.

Menurut laporan akhbar The Star, jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di pejabat Sungai Klang berkata, longgokan sampah terutamanya plastik, botol dan bekas polisterin yang menyekat aliran sungai adalah pemandangan harian mereka.

“Barangan seperti set sofa, tilam, peti sejuk, mesin basuh dan bingkai motosikal turut dibuang dalam sungai.

“Ramai yang mengambil jalan mudah dengan membuang segala-galanya ke dalam sungai, walaupun mereka sedar ia mencemari sungai kita,” katanya.

Perangkap sisa ini antara inisiatif pembersihan sungai yang direka dan dipasang di dalam sungai untuk mengumpul atau menyekat sisa dan sampah terapung.

Pada tahun lalu, 205 tan sampah dikutip dari Sungai Klang dan anak sungainya, 75 tan metrik daripada perangkap pencemar kasar (GPT), 60 tan metrik daripada perangkap sisa dan tadahan sampah serta 70 tan daripada pembersihan manual.

Sejak Januari hingga April tahun ini, 85 tan sampah dikumpulkan.

“Pembersihan sungai juga dilakukan menggunakan pelbagai kaedah lain seperti pemasangan perangkap sungai seperti perangkap pencemar, tadahan balak, pembersihan manual dan penggunaan tenaga manusia serta mesin.

Tambah beliau lagi, GPT dipasang pada penghujung longkang atau saliran air yang direka khas untuk dilepaskan ke sungai tertentu, kolam kawalan kualiti air atau tasik bandar bagi mengurangkan mendapan, sampah, minyak dan bahan kimia.

“Di Lembah Klang, projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) dimulakan dengan harapan mengubah Sungai Klang-Gombak di Kuala Lumpur sebagai koridor air yang mampu menjana nilai ekonomi.

“Projek ini memberi tumpuan kepada pembersihan dan pengindahan sungai tercemar di Lembah Klang.

“Inisiatif ini diketuai JPS dengan sokongan 26 agensi di empat kementerian termasuk pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan DBKL,” katanya kepada akhbar itu.

Buat masa ini, JPS membina 369 perangkap pencemar kasar, tadahan kayu dan perangkap sampah menerusi peruntukan RM3 bilion untuk tempoh 2011 hingga 2020.

Kerajaan juga memperuntukkan RM114 juta untuk memulihkan sungai di bawah program “Satu Negeri Satu Sungai” 2006-2007.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...