Sedang sarat mengandung anak kedua, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjelaskan perbezaan kehamilan kali ini dengan yang sebelumnya.
Menurut penyanyi tersohor negara itu, beliau tidak dapat menjamah makanan pedas sepanjang kehamilan kedua ini meskipun seorang peminat tegar kepada kepedasan. Disebabkan itu, TokTi banyak mengambil makanan masakan kampung dan sup ringkas sahaja.
“Saya akan mengalami ‘heart burn’ yang teruk jika mengambil makanan pedas jadi terpaksa elak makanan sebegitu.”
Malah, penyanyi wanita itu mendedahkan bahawa beliau lebih banyak letih dan kian terasa simptom kehamilan, tidak seperti ketika mengandungkan Siti Aafiyah dulu.
“Selain itu, perut saya kini juga lebih besar dan berat naik agak banyak berbanding hamilkan Aafiyah dahulu.”
Bukan itu sahaja, beliau juga tidak dapat ke dapur dengan kerap dek mudah penat dan selalu berasa loya apabila terhidu bau minyak atau masakan bergoreng.
“Tapi Alhamdulilah, kini dah masuk trimester ketiga ni saya sudah mula masuk dapur untuk sediakan makanan Aafiyah atau masak untuk suami jika dia teringin nak makan masakan saya sekali sekala.”
Dijangka melahirkan bayi kedua tersebut pada April nanti, sudah pastinya semua mendoakan urusan TokTi berjalan dengan lancar.