Mahkamah Rendah Syariah pada Isnin mengesahkan pempengaruh, Siti Jamumall dan suaminya, Khairul Aiman Abdul Kudus atau lebih dikenali sebagai Aiman Tak Kesah, sah bercerai dengan talak satu kali ketiga yang dilafazkan ketika siaran langsung di aplikasi TikTok empat bulan lalu.
Hakim Syarie, Fairus Jaafar, memutuskan demikian selepas mendapati Khairul Aiman, 22, selaku plaintif telah melafazkan cerai talak satu kali pertama terhadap Siti atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin, 26, pada 17 Mac lalu.
Beliau menjelaskan, plaintif sekali lagi membuat dua lafaz ketika siaran langsung di aplikasi tersebut sekitar jam 1.31 pagi pada 15 Mei.
Hakim berkata, mahkamah mentafsirkan lafaz pertama dan kedua itu sebagai satu talak sahaja secara talak rajie, sementara lafaz ketiga ditafsirkan sebagai lafaz baharu iaitu talak bain kubra.
Mengambil kira lafaz ketiga dibuat berselang 15 hingga 18 minit dari lafaz kedua dan ada perbualan lain, maka lafaz berkenaan didapati sah dan menjatuhkan talak satu kali ketiga.
Mahkamah meluluskan tuntutan pengesahan cerai plaintif mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.
Defendan diarahkan menjalani tempoh edah sehingga bersalin dan surat nikah kedua-dua pasangan ini di Perlis dibatalkan.
Dalam prosiding, peguam syarie Mohd Nooraizan Bin Md Idros yang mewakili plaintif berkata, Aiman akur dengan keputusan namun tetap memikirkan tentang anak sulungnya yang baru dilahirkan.
“Ya, buat masa ini, pasangan ini tidak boleh rujuk semula,” katanya.
Untuk rekod, pasangan itu telah berpisah buat kali kedua pada 15 Mei lalu menerusi lafaz cerai ketika siaran langsung di TikTok atas akaun @Sitijamumall, namun kembali rujuk dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengesahan dibuat.
Mereka sebelum itu sudah bercerai kali pertama pada 17 Mac di luar mahkamah.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 1 Jun tahun lalu di Satun, Thailand. Ini merupakan perkahwinan kedua Siti yang pernah berkahwin selama empat tahun dan dikurniakan dua anak lelaki, Putra Adam Rizki (5 tahun) dan Putra Aiman Zafran (3 tahun).
Siti Jamumall baru sahaja selamat melahirkan cahaya mata ketiganya pada 12 September lalu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.