Sudah dua tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Siti Elizad belum lagi menimang cahaya mata. Dek kerana hal itu, ramai yang mencetuskan spekulasi termasuk membuat fitnah bahawa Elizad sengaja tidak mahu anak.
Elizad terkejut mendengar dakwaan berkenaan dan memberitahu ia sama sekali tidak benar. Menurut Elizad, setiap pasangan yang berkahwin pasti mahukan anak cuma beliau belum ada rezeki untuk bergelar ibu.
Siapa kata saya tak nak anak? Saya pelik apabila timbul dakwaan itu terutama dalam kalangan pengguna laman sosial. Semua orang yang berkahwin pasti inginkan anak, begitu juga saya dan suami. Cuma dalam kes saya, belum ada rezeki lagi.
Tambah Elizad, beliau dan suami sentiasa berusaha dan tidak putus berdoa dengan Allah SWT untuk dikurniakan anak.
Dalam soal ini saya dan suami sentiasa berusaha tapi ini adalah kuasa Allah. Lambat atau cepat saya reda. Apa yang penting jangan putus berdoa.
Masyarakat kita memang suka untuk mengkritik dan mempersoalkan seseorang itu jika mereka masih belum mempunyai cahaya mata selepas beberapa tahun kahwin. Soal ini bergantung kepada ketentuan Allah SWT juga. Sepatutnya, kita juga berdoa agar Siti Elizad dapat menimang cahaya mata satu hari nanti.