Mula popular apabila membintangi drama bersiti Teman Lelaki Upahan, Siti Elizad mula mendapat jumlah peminat yang agak tinggi. Untuk mendekatkan lagi diri mereka bersama Elizad, ada yang telah menubuhkan kelab peminat Elizad FC yang menganjurkan pelbagai acara bersama artis pujaan mereka itu.
Namun, ada individu yang telah mengambil kesempatan terhadap penubuhan kelab tersebut dengan melakukan penipuan demi kepentingan peribadinya.
Jelas Elizad, individu tersebut yang merupakan pengurus Elizad FC telah menggunakan nama beliau untuk mengutip wang daripada ahli lain kononnya untuk mengadakan sebuah acara bersama Elizad. Walaubagaimanapun, ia cuma satu taktik yang digunakan untuk memperolehi keuntungan buat dirinya.
Saya sedih dan terkilan apabila dia yang bertanggungjawab menguruskan kelab tersebut sanggup berbuat demikian dan menggunakan nama saya untuk mengambil duit daripada ahli yang lain. Saya mengetahui perkara ini apabila ramai peminat yang bertanya tentang sebuah acara yang saya sendiri tidak tahu menahu.
Bersimpati terhadap peminatnya yang sudah menjadi mangsa penipuan individu tersebut, Elizad telah cuba untuk menghubungi penipu itu, namun segala usaha beliau gagal apabila pengurus berkenaan enggan membalas mesej daripada aktres tersebut meskipun ia sudah dibaca.
Saya sudah beberapa kali hubungi dan hantar mesej WhatsApp pada dia, namun tidak dibalas walaupun saya tahu dia sudah membacanya. Saya cuba tanya dengan ahli kelab lain, namun semuanya seperti tidak mahu beri kerjasama. Saya sedih dan kasihan dengan peminat yang tertipu, bukan semua orang senang untuk dapat duit, ada yang terpaksa mengumpul semata-mata untuk bertemu saya tetapi ditipu pula.
Jelas Elizad, beliau sama sekali tidak mahu memalukan individu tersebut tetapi meminta agar dia memulangkan semula wang yang telah diambil.
Tak semua orang melakukan satu pekerjaan itu dengan ikhlas ada yang hanya ingin mengambil kesempatan hanya untuk mencari keuntungan. Bila berlaku perkara macam ini, tak pasal-pasal nama artis pun jadi buruk. Kepada individu yang menipu itu, pulangkan je lah wang yang anda sudah tipu, kalau nak simpan pun berapa lama leh tahan? Memang panas je,sebab dah kira duit haram.